
Laporan/foto: Hamidah Len (Kota Kinabalu)
PORTUGAL, 2 Julai (Malaysiaaktif) – Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, begitulah semangat juang sembilan murid-murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St Agnes yang mewakili Malaysia di Dance World Cup, 2019 di Braga, Portugal.
Perjalanan hampir 30 jam merentas benua ternyata tidak melunturkan semangat pasukan Stadansa dari SRK St Agnes, Kota Kinabalu untuk mempamerkan persembahan terbaik di peringkat akhir Dance World Cup 2019.
Mempertaruhkan empat tarian kreatif etnik-etnik Sabah, hasil idea tiga koreografer, Nicodemus Marcus, Syamsul Malawi dan Mohd Taufik Mumbarikusain ternyata membuahkan hasil apabila anak didik mereka berjaya merangkul satu pingat perak dan dua gangsa.
Guru Besar SRK St Agnes, Kuilim Minin berkata, beliau berbangga atas kejayaan cemerlang pelajarnya yang memperoleh pencapaian membanggakan menerusi semua kategori yang disertai.
“Meskipun terpaksa berhadapan keadaan cuaca yang agak berbeza dan sejuk, pelajar saya yang berusia antara 11-12 tahun membuktikan mereka adalah terbaik dan mampu mengatasi cabaran.
“Suhu dingin mencecah 17° celcius langsung tidak memudarkan semangat ‘Malaysia Boleh!’ dalam diri mereka yang berbilang bangsa itu.
“Malah, senaman dan latihan tetap diteruskan sehari selepas ketibaan Stadansa di Braga pada 26 Jun lepas,” ujarnya ketika dihubungi di Braga, Portugal.
Usaha gigih murid-murid pelbagai latar belakang ini amat membanggakan apabila beberapa kali diumumkan sebagai pemenang di pentas akhir Dance World Cup 2019.
Bagi kategori Small Group National Folklore And Dance, SRK St Agnes menerusi tarian Alai Molbog menduduki tangga keenam setelah bersaing bersama 14 pasukan termasuklah daripada German, England, Bulgaria, Spain, India, Hong Kong, Bulgaria dan Romania.

Ameena ketika membuat persembahan dengan mengenakan kostum inovasi Murut rekaan Nicodemus (ihsan Club Wow).
Kategori Solo Children National Folklore, pelajar tahun enam SRK St Agnes, Ameena Zulaikha Amlee, 12 memungut pingat gangsa menerusi tarian Rala’a yang bermaksud wanita, diilhamkan daripada tarian etnik suku kaum Murut.
Persembahan memukau beliau menarik perhatian juri di Blue Theatre, Altice Forum seawal muzik tarian berkumandang.
Pada tahun 2018, Ameena dan rakan-rakan Stadansa mewakili Malaysia dalam Dance World Cup 2018, Spain memungut dua pingat emas melalui tarian Japin dan Pirid, iaitu tarian tradisional suku kaum Sungai.
“Keanggunan gemalai tari dan lentikan jari daripada tarian suku kaum Bajau yang dibawakan oleh Avril Imatius Amingin, Yasmine Camelia Hamid dan Ameena Zulaikha Amlee menduduki tempat kedua bagi kategori Duet/Trio National Folklore and Dance.
“Rakan sepasukan Stadansa, gandingan Charlane Eviana Felix dan Nurul Damia Qistina turut membanggakan negara apabila memungut gangsa setelah mempersembahkan tarian Anak Lundayeh.
“Rutin latihan persediaan Dance World Cup 2019 bermula seawal Disember 2018 dari 1.00 hingga 4.00 petang setiap hari memberikan keyakinan kepada Stadansa,” kata Kuilim.
Di samping itu, bagi menambah keyakinan beraksi di atas pentas, Stadansa banyak menerima undangan membuat persembahan tarian daripada pelbagai jabatan, badan bukan kerajaan, agensi dan individu perseorangan.
Persembahan-persembahan ini juga dilakukan sebagai salah satu usaha SRK St Agnes untuk menampung kos-kos perbelanjaan ke Dance World Cup 2019.
“Saya mengucapkan setingi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua agensi dan individu yang telah memberikan sokongan kepada pasukan STADANSA sama ada dalam bentuk kewangan mahupun sokongan moral.
“Saya berharap agar SRK St Agnes akan terus berusaha menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa dan mencapai kejayaan cemerlang seterusnya mengharumkan nama serta budaya Malaysia di mata dunia.
“Kejayaan SRK St Agnes adalah kejayaan kita bersama” ujarnya yang telah berkhidmat lebih 20 tahun sebagai guru besar SRK ST Agnes.
Pada tahun 2020 pertandingan Dance World Cup akan dianjurkan di Rom, Italy.
Penganjuran kali kesebelas Dance World Cup 2019 menarik perhatian 20,000 penari pelbagai genre tarian daripada seluruh dunia.
Pasukan Stadansa gigih meneruskan latihan di Portugal bagi menghadapi saingan Tugu Budaya 2019 yang berlangsung 10 hingga 11 Julai nanti, dan dijangka tiba di Kota Kinabalu pada Ahad ini.
-EM