Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Industri Ternakan Raih Pulangan Lumayan

By 1 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/Foto: Rosli Md Zin (Bachok)

BACHOK, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Berbekalkan modal sendiri sebanyak RM10,000 Mohamad Awang Ahmat, 70, tekad menceburi industri penternakan lembu baka.

Bermula dengan sepasang induk Charolais, kini beliau memiliki 30 ekor lembu baka daripada jennis Charolais, Blue Bega, Blonde dan Limousine.

Minat dan semangat Mohamad Awang Ahmat disokong dengan tambahan modal oleh anaknya bagi mempelbagaikan baka lembu ternayata berhasil.

“Saya memulakan ternakan lembu baka ini enam tahun lepas. Sebelum ini saya ternak lembu kampung tetapi kerana ingin mencuba kelainan saya mula menternak lembu baka ini,” ujar Mohamad Awang.

“Harga setiap baka berbeza dan bergantung kepada kecantikan tubuh serta saiz lembu tersebut. Jika kita tidak bersungguh-sungguh dan berkerja keras agak susah untuk menternak lembu ini,” ujarnya lagi.

Menurut Mohamad Awang, beliau tidak bergantung sepenuhnya kepada makanan jenis palet dan rumput kering sahaja kerana lembu-lembu baka ini juga makan rumput segar yang di potong dan dirincih.

“Membiarkan lembu di padang ragut tidak elok kerana akan menjadikan ternakan ini lebih kurus,” jelas beliau lagi.

Mohammad Awang Hamat pemilik ladang lembu baka

Mohammad Awang Hamat pemilik ladang lembu baka

Menurut Mohamad Awang, pergerakan lembu baka ini tidak seaktif lembu kampung dan beliau terpaksa mengupah pembantu untuk memotong rumput kerana faktor usia.

Kos rumput kering juga tinggi mencecah RM160 satu bongkah besar dan satu guni palet berharga RM60 hingga RM70.

Satu bongkah besar rumput kering dan seguni palet hanya memadai untuk satu sesi makan bagi 30 ekor lembu baka peliharaannya.

Selain itu, Mohamad Awang juga berkata sangat penting bagi memahami perlakuan lembu-lembu ini sekiranya mengalami masalah kesihatan dan memerlukan rawatan segera.

“Penjagaan dari segi kesihatan adalah penting untuk memastikan lembu-lembu sentiasa sihat dan bebas penyakit,” katanya lagi.

Beliau juga sering dikunjungi pihak Jabatan Veterinar yang memberikan khidmat nasihat dan tunjuk ajar penjagaan ternakan.

“Meskipun belanjanya besar, saya tetap rasa berbaloi kerana ianya akan memberi pulangan yang lumayan,” ujar beliau dengan senyum lebar.

Kegigihan beliau terhasil apabila dua hari lepas seorang pembeli dari Terengganu membeli 3 ekor anak serta satu induk dengan harga RM33,000 keseluruhannya.

Setiap tahun beliau menjual lebih 5 ekor lembu dengan pendapatan tahunan mencecah RM80,000.

Baka lembu chaoralis

Baka lembu chaoralis

Lembu dari baka Charaolis juga mendapat pasaran daripada penjual daging tempatan kerana harga yang lebih murah berbanding baka Blue Bega dan Limousin. Selain itu jenis Charaolis ini juga lebih banyak daging dan boleh memberi keuntungan kepada penjual.

Menurut beliau setakat hari ini belum ada pelanggan membeli lembu-lembu beliau untuk tujuan korban pada hari raya Aidiladha.

Sambil berseloroh beliau berkata untuk satu bahagian korban lembu peliharaannya mungkin boleh mencecah RM1200.

Mohamad Awang memberi galakan kepada golongan belia agar lebih ramai menceburi bidang ini dan mengambil peluang kerana ianya boleh memberi pulangan lumayan kepada penternak.

Beliau juga berharap supaya pihak kerajaan lebih banyak membantu penternak dengan memberikan pelbagai kemudahan serta menawarkan skim yang menarik dalam membantu penternak di negara kita.

Ketika ditemui Malaysiaaktif Mohamad Awang baru sahaja selesai memberi makan kepada “Big Momma” dan juga “Era” dua ekor lembu beliau yang cukup popular dan sering kali menyertai pertandingan lembu cantik.

Beliau juga turut dicalonkan bagi kategori penternak jaya tahun 2019. Sebelum ini beliau banyak memenangi kategori lembu kelas A dan Mohammad Awang berkata dia akan menyertai sekali lagi pertandingan pada tahun ini yang akan berlangsung di Tok Bali pada 28 Julai 2019, katanya mengakhiri perbualan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda