Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Islam Terima Kemajuan Teknologi Selagi Tidak Bertentangan Dengan Syarak

By 11 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/ Johnny George Kimlon & Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, Islam adalah agama yang bersifat terbuka serta menerima kemajuan teknologi dan kemodenan, selagi mana ianya tidak bertentangan dengan syarak.

Katanya, sejak akhir-akhir ini masyarakat didedahkan dengan pelbagai penyalahgunaan media sosial oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah, Yahya Sulaiman (dua dari kanan) menyambut ketibaan Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah di perkarangan Masjid Negeri Sabah sambil diiringi Aidi (kiri).

Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah, Yahya Sulaiman (dua dari kanan) menyambut ketibaan Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah di perkarangan Masjid Negeri Sabah sambil diiringi Aidi (kiri).

“Fitnah melalui penyebaran berita palsu, penghinaan agama dan isu perkauman dilihat semakin menular yang pastinya jika dibiarkan akan menimbulkan suasana tidak tenteram serta boleh mencetuskan huru hara di kalangan masyarakat.

“Justeru, umat Islam seharusnya bersyukur dengan nikmat kemudahan teknologi terutamanya dalam penggunaan media sosial seperti aplikasi Whatsapp, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya serta memanfaatkannya sebagai medium yang berkesan untuk digunakan bagi mengajar, belajar dan menyeru masyarakat untuk melakukan kebaikan.

“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita semua membentuk masyarakat yang berkeupayaan mengawal teknologi, bukannya dikawal dan hanyut dengan teknologi kerana Islam mementingkan kesatuan ummah dalam membina negara yang sejahtera,” kata Bungsu.

Tun Juhar bersalaman bersama jemaah yang hadir

Tun Juhar bersalaman bersama jemaah yang hadir

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Khutbah Hari Raya Aidiladha yang bertajuk ‘Pengorbanan Asas Kesejahteraan Ummah’ di Masjid Negeri Sabah, pada Ahad.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni turut hadir menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 3,000 jemaah sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Tambah beliau, kepelbagaian bangsa manusia adalah sunnatullah untuk kebaikan manusia itu sendiri juga sebagai didikan kepada kita agar berkenalan dan memelihara hak-hak antara satu sama lain.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

“Sikap perkauman dan taksub kepaida satu-satu bangsa sehingga timbulnya sikap sombong dan angkuh amat bertentangan dengan nilai Islam.

“Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.

“Umat Islam seharusnya berperanan sebagai pendamai dan bukannya pemecahbelah dalam masyarakat.

“Mempunyai sikap pendamai ini adalah penting untuk kita mengorbankan keegoan dan nafsu kita,” jelasnya.

Imam Besar MNS, Ustaz Suhaidi Kuanting (kiri), Bungsu (dua dari kiri), Tun Juhar (tiga dari kiri), Aidi (tengah) dan Syed Abas (tiga dari kanan) dan Uda (dua dari kanan) menunaikan solat sunat sejurus tiba di ruang solat utama Masjid Negeri Sabah.

Imam Besar MNS, Ustaz Suhaidi Kuanting (kiri), Bungsu (dua dari kiri), Tun Juhar (tiga dari kiri), Aidi (tengah) dan Syed Abas (tiga dari kanan) dan Uda (dua dari kanan) menunaikan solat sunat sejurus tiba di ruang solat utama Masjid Negeri Sabah.

Kata Bungsu, berjuang dan berkorban untuk membentuk akhlak mahmudah adalah penting agar orang Islam tidak dipandang sebagai orang yang suka menimbulkan provokasi dan memecahbelahkan masyarakat.

“Budaya bersatu padu dalam amal ibadah dan aktiviti yang berbentuk kemasyarakatan diberikan pahala berganda sepertimana yang diamalkan ketika Aidiladha.

Melalui amalan kerjasama ini akan melahirkan dan membangunkan masyarakat islam yang bersatu padu dalam meningkatkan ekonomi untuk kesejahteraan ummah yang akhirnya akan dapat membangunkan negara dan khususnya negeri Sabah”, katanya lagi.

ER

Tinggalkan komen anda