Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Pengorbanan Tuntut Tanggungjawab Bangunkan Negara

By 12 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Mohd Nur Ferdaus Saperi (Labuan)

LABUAN, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Konsep pengorbanan hari ini menuntut agar semua pihak bertanggungjawab dalam membangun negara.

Menurut Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, dalam konteks dunia pada hari ini konsep pengorbanan itu sendiri mencakupi makna
yang luas dan mendalam.

“Ia menuntut sebuah tanggungjawab besar, terutamanya dari segi masa, tenaga, wang ringgit dan sebagainya dalam menyumbang ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara.

“Tanggungjawab, komitmen, harapan serta hala tuju rakyat Labuan yang mahukan kemajuan, kejayaan dan pembangunan sosioekonomi yang lebih saksama amat memerlukan pengorbanan daripada pemimpin dan masyarakat pada semua peringkat yang melangkaui pegangan agama, kelompok bangsa dan kaum serta kefahaman politik,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha, di sini semalam.

Menurut Rozman, jika Aidiladha yang diraikan benar-benar dihayati, sudah pasti akan dapat memupuk semangat perpaduan rakyat Labuan khasnya dan umat Islam amnya.

“Penghayatan ini membolehkan kita menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati dan sanggup berkorban, di samping menghindari sikap mementingkan diri sendiri.

“Apa yang baik akan diteruskan, manakala setiap kelemahan yang ada kita akan perbetulkan untuk kepentingan dan kebaikan rakyat,” katanya lagi.

Rozman turut menyeru semua rakyat Labuan bersama-sama menghayati meraikan hari kebesaran itu dengan penuh rasa kesyukuran dan keimanan, di samping mengukuhkan silaturrahim agar dapat melahirkan satu ummah yang bukan sahaja memperoleh kejayaan di dunia, malah dinaungi payung rahmat Allah SWT di akhirat nanti.

“Saya berharap agar semua rakyat khususnya kepada semua barisan kepemimpinan dan penjawat awam akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi serta sanggup melakukan pengorbanan dengan penuh ikhlas demi kemakmuran dan kesejahteraan Labuan agar terus maju, berkat dan sejahtera seiring dengan kemajuan negara serta dunia,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda