
Laporan /foto: Hazlinah Samsir/ Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)
RANAU, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Masyarakat Sabah tidak patut memandang remeh sambutan bulan kebangsaan.
Ahli Parlimen P.179 Ranau, Jonathan Yassin berkata, sebagai rakyat Malaysia, sambutan berkenaan perlu disambut meriah.
“Kita perlu sama-sama memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan bagi menghayati semangat patriotik dan tanda sokongan kepada negeri-negeri lain.
“Selain itu, tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ juga merupakan satu slogan yang perlu dihayati semua bagi memastikan negara kita bebas dari unsur negatif.
“Kita perlu bersih dari segi pentadbiran kerajaan dan dalam kehidupan seharian pula, perlu membiasakan fikiran, hati dan perlakuan yang baik,” katanya dalam Majlis Perasmian Persembahan PENTARAMA Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah sempena Majlis Pelancaran Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Jonathan turut mengajak agar seluruh masyarakat Sabah khususnya di Ranau untuk hadir memeriahkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan yang akan diadakan pukul 2 petang (hari ini) di Padang Pekan Ranau.
“Saya berharap penduduk sekitar dapat sama-sama memeriahkan majlis pelancaran dan menyambut seruan Kempen Kibar Jalur Gemilang.
“Laburkan sedikit duit bagi membeli Jalur Gemilang dan kibarlah di tempat kerja, kereta dan rumah kita,” katanya lagi.
Hadir sama, Pegawai Daerah Ranau, Mohd Yassin Ibrahim dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) JaPen Sabah, Wasrin Jakaria.
ER