Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

KL Pink October 2019 Sasar 2,000 Peserta

By 9 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Azuraini Abd Majid (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, KL Pink October 2019 telah disempurnakan oleh Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Heric Corray bertempat di Auditorium Utama (HKL), di sini hari ini.

Kempen anjuran HKL yang bermula sejak 2016 ini menyasarkan seramai 2,000 peserta dan menjadi acara tahunan untuk memberi kesedaran tentang bahaya kanser payudara yang merupakan  pembunuh nombor satu wanita di Malaysia.

“Bagi tahun ini, kempen kesedaran diadakan dengan skala yang lebih besar  melibatkan dua segmen iaitu KL Pink Project 2019 dan KL Pink October 2019,” jelas Dr. Heric Corray.

Tambah beliau lagi, KL Pink Project 2019 merupakan program kunjungan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) di bawah selenggaraan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  yang telah bermula  sejak Mei lalu yang melibatkan sepuluh lokasi di sembilan buah Parlimen.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti pemeriksaan payudara secara percuma dan menetapkan temujanji untuk pemeriksaan lanjut di hospital.

“Program berbentuk kemasyarakatan ini antaranya lainnya bermatlamatkan untuk menyedarkan masyarakat bahawa kanser payudara  boleh dirawat dengan berkesan jika dikenalpasti pada peringkat awal”, katanya lagi.

Penyelaras Program KL Pink Project dan KL Pink October, Encik Mohamad Azlan Jaafar menyampai taklimat program.

Penyelaras Program KL Pink Project dan KL Pink October, Encik Mohamad Azlan Jaafar menyampai taklimat program.

Bagi pengisian KL Pink October 2019, terdapat tiga acara utama yang dijadualkan akan berlangsung iaitu KL Pink October Walk, Pink Zumba dan Street Carnival.

KL Pink October Walk merupakan acara baharu bagi tahun ini dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong,  Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan untuk turut serta bagi memeriahkan acara tersebut yang akan diadakan di padang HKL  pada 19 Oktober 2019.

“Acara-acara yang diadakan adalah satu cara penjanaan dana bagi membantu membantu pesakit-pesakit kanser yang tidak berkemampuan dalam meneruskan rawatan mereka di HKL sama ada melalui sumbangan kewangan, perubatan atau peralatan,”  tambahnya lagi.

Dr. Heric Corray berkata,  Persatuan Kebajikan Taman Melati (PKTM) merupakan tenaga penggerak utama kepada kempen ini dan dibantu oleh beberapa jabatan di dalam HKL iaitu Jabatan Pembedahan, Radiologi, Patologi, Radioterapi Onkologi, Farmasi, Kecemasan, Unit kesihatan Awam, Unit Pendidikan Kesihatan dan juga Unit Angkut.

Kempen ini turut mendapat sokongan daripada  Air Asia, TM, HESS,  badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta yang menjadi rakan strategik HKL.

Selain itu, bantuan daripada agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), DBKL, Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Kesihatan WPKL, Jabatan Penyiaran Malaysia, Angkatan Petahanan Awam Malaysia (AP)  serta Jabatan Relawan Malaysia menjadikan program ini bakal memberi impak yang lebih jitu dalam menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat.

Dr Herric menjelaskan sejak penganjuran kempen ini dari tahun 2016, hampir 3,000 orang wanita telah menjalani saringan kanser payudara. Walaupun angka ini dianggap sedikit, namun langkah kecil ini diharap mampu membawa perubahan yang besar pada masa akan datang.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap Ketua Jabatan Radioterapi, Dr. Ros Suzanna Ahmad Bustaman dan Penyelaras Program, Mohammad Azlan Jaafar.

-AO-

Tinggalkan komen anda