Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Meriah

By 9 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Abd. Aziz Osman (Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan kali ke-62 Peringkat Negeri Pulau Pinang berlangsung semalam dengan penuh pengisian elemen patriotik.

Program anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini dibantu oleh beberapa Jabatan  kerajaan seperti Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang, Pejabat Pembanggunan Wanita Dan Keluarga Pulau Pinang dan Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang serta Regimen Askar Wataniah.

Pelbagai pengisian program bertemakan disusun bagi menyuntik semangat patriotisme dan nasionalisme ke dalam jiwa rakyat negeri ini supaya bersama-sama meraikan bulan kebangsaan pada tahun ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Antara aktiviti yang diadakan pada hari ini ialah pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan Bintang Patriotik, pertandingan merekacipta replika bulan kebangsaan, pertandingan menghias kek dan konvoi Jalur Gemilang yang dijalankan selama dua hari bermula semalam sehingga hari ini.

Kesemua acara yang dipertandingkan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari orang ramai. Antara yang menjadi tumpuan ialah pertandingan Bintang Patriotik Anjuran Jabatan Penerangan Malaysia. Acara yang dikendalikan sepenuhnya oleh Unit Pentarama Jabatan Penerangan ini berjaya menarik penyertaan sehingga 26 peserta.

Acara Perasmian Bulan Kebangsaan Dan Kempen Jalur Gemilang peringkat negeri Pulau Pinang 2019 disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dato Haji IR Zakiyudin Abd.Rahman. Beliau dalam ucapannya mengajak masyarakat menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah kediaman, premis-premis perniagaan, sekolah, pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta dan tempat-tempat yang bersesuaian.

Dato IR Zakiyudin meyampaikan ucapan perasmian

Dato IR Zakiyudin meyampaikan ucapan perasmian

Pada akhir program, beliau telah melepaskan konvoi Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang. Konvoi yang terdiri daripada beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Penerangan, Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang serta beberapa lagi agensi ini akan meneruskan jelajah ke beberapa lagi destinasi di daerah Timur Laut dan Barat Daya pada hari ini.

Dato IR Zakiyudin melepaskan peserta konvoi Jalur Gemilang

Dato IR Zakiyudin melepaskan peserta konvoi Jalur Gemilang

Hadir sama ialah Dato’ Lau Choo Kiang,Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang serta beberapa pemimpin diperingkat negeri dan Daerah serta ketua-ketua Jabatan Kerajaan Peringkat negeri dan daerah.

Majlis Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun ini akan diadakan di Dataran MPSP, Butterworth.

-II-

Tinggalkan komen anda