Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Kayuhan Kemerdekaan Jelajah Negeri Sembilan

By 30 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parimala Devi Suppiah/Hamdan Hashim (Jelebu)

JELEBU, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Peserta Kayuhan Kemerdekaan 2019 Jelajah Negeri Sembilan 300KM telah sampai di Muzium Adat, Kuala Klawang petang semalam. Jelajah tersebut tiba selepas melalui tiga hentian iaitu Felda Bukit Rokan Utara, Teratak Za’aba dan Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang.

Menurut Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemenceh, Saiful Aldy Abdul Wahab, seramai 106 orang peserta dari pelbagai negeri telah mengambil bahagian dalam acara ini.

“Program ini adalah sebagai salah satu tanda untuk menyemarakkan dan menjiwai nilai patriotisme disamping menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-62,” ujarnya ketika ditemui.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani, Bakri Sawir, berkata bahawa kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini perlu dihargai dan dinikmati bersama.

Bakri ketika berucap.

Bakri ketika berucap.

“Tema Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih ini dilihat sebagai satu usaha dalam menjadikan rakyat Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa bersatu padu dan dan hidup dalam kebebasan dari pelbagai aspek,” katanya.

Bakri juga menyatakan bahawa semangat yang ditunjukkan oleh peserta kayuhan membuktikan kesungguhan kita dalam menzahirkan semangat kemerdekaan.

“Saya amat berbangga apabila mendapati bahawa penyertaan kayuhan ini telah melebihi jangkaan dan peserta sanggup menghadapi cabaran dalam menjayakan program ini dengan semangat patriotik yang tinggi,” tambahnya.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Gemenceh bersama Kayuh Lambek Cycling Club dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Belia dan Sukan Malaysia akan berakhir pada 31 Ogos 2019 di Sekolah Kebangsaan Senibal, Johol.

-AK

Tinggalkan komen anda