Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Keistimewaan Ayam Kampung

By 21 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Luhat Ajang (Sarawak)

KUCHING, 21 Ogos  (Malaysiaaktif) – Ayam kampung ataupun nama saintifiknya Gallus Domesticus biasanya dipelihara secara lepas dan bebas berkeliaran sambil mencari makanan terutamanya di kampung – kampung mahupun kawasan luar bandar.

Ianya dipelihara sejak zaman dahulu lagi sama ada untuk dijadikan makanan, hiburan mahupun untuk tujuan perubatan bagi sesetengah masyarakat. Jangan lupa peranannya sebagai ‘jam penggera’ di awal pagi melalui kokokannya.

Ayam kampung juga merupakan salah satu ternakan wajib bagi penduduk kampung selain dari ternakan lainnya. Proses pemeliharaannya juga mudah dan murah.

Ayam kampung akan tidur di atas pokok pada waktu malam

Ayam kampung akan tidur di atas pokok pada waktu malam

Bagi masyarakat yang masih berpegang kepada adat lama, ayam kampung turut memainkan peranan penting khasnya dalam beberapa ritual ataupun kepercayaan yang masih dipegang kuat dalam kehidupan seharian.

Ayam kampung jantan juga menjadi buruan para penggemar sabung ayam (laga ayam) yang kebiasaannya diadakan musim perayaan Gawai Dayak oleh masyarakat Dayak sejak dahulu lagi.

Sebuah keluarga dari etnik Salako yang kini menetap di Kampung Segedup, Batu Kawa, Kuching masih memelihara ayam kampung hingga hari ini.

Puan Angeng yang berasal dari Sematan, telah mula memelihara ayam kampung pada tahun 70-an iaitu setelah lebih kurang 10 tahun sejak berpindah ke Kuching mengikuti suaminya bekerja sekitar tahun 60-an.

Beliau memelihara ayam untuk dijadikan lauk kerana lebihan makanan khasnya nasi sering dibuang begitu sahaja dan merupakan satu pembaziran. Ayam Kampung masak tempoyak merupakan juadah paling diminatinya.

Biasanya harga ayam kampung yang ditetapkan untuk sesama penduduk kampung adalah agak murah lebih – lebih lagi jika ianya dibeli untuk upacara adat tradisional di kampung.

Menurut Angeng, salah satu masalah yang sering dihadapi dalam memelihara ayam kampung ialah serangan ular khasnya ular sawa, biawak,musang mahupun anjing liar. Kini dianggarkan lebih kurang 80 ekor ayam peliharaannya dan kian bertambah.

Ayam kampung digunakan dalam upacara adat tradisional

Ayam kampung digunakan dalam upacara adat tradisional

“Dulu dalam tahun 80-an, ada seorang peniaga  Cina yang selalu datang membeli ayam kampung peliharaan saya dalam kuantiti yang banyak. Saya tak pasti sama ada untuk dirinya sendiri ataupun dijual”, kata Angeng mengenang kembali bagaimana ayam yang diternak hanya untuk kegunaan sendiri mulai dibeli oleh orang lain.

Abok Christopher iaitu salah seorang cucu Angeng yang bersekolah di SMK Sri Aman amat meminati Bubur Ayam Kampung apabila balik bercuti ke Kuching.

“Bubur ayam kampung lebih sedap berbanding ayam yang dijual di pasar raya. Kalau dicampur dengan sawi kering yang sudah dihancurkan (ensabi), lagi sedap”, kata Abok yang merujuk kepada bubur tradisional datuknya berketurunan Orang Ulu.

Frankie Michael yang berasal dari Serian amat meminati salah satu masakan tradisi kaum Bidayuh iaitu Nasi Ayam Kampung dalam buluh yang dipanggil Esam khasnya di musim perayaan.

“Seolah – olah tidak lengkap perayaan Gawai Dayak kalau tiada hidangan Esam ini terutamanya bagi keluarga saya. Ianya amat sesuai dimakan sewaktu ianya masih hangat lagi bersama – sama air kopi. Makanan tradisi sebegini haruslah dipelihara selama – lamanya” kata Frankie.

Masyarakat Cina amat menggemari sup ayam kampung yang direneh bersama herba tradisional Cina seperti ginseng dan sebagainya. Ianya dipercayai sebagai salah satu makanan tambahan yang amat mujarab untuk kesihatan.

Telur ayam kampung rebus separuh masak juga mempunyai peminat yang ramai terutamanya para lelaki yang percaya ada keistimewaannya yang tersendiri.

Ternyata ayam kampung masih menjadi pilihan untuk dijadikan sajian khasnya di kawasan pedalaman, kampung – kampung mahupun di mana sahaja yang sudah arif tentang khasiat dan keenakannya.

Tinggalkan komen anda