
Laporan/foto: Farhana Azlin Lajis/Muhammad Jazli Idris (Langkawi)
LANGKAWI, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, mengumumkan Peralihan Rasmi Siaran TV Analog ke Siaran TV myFreeview bagi penduduk di sini.
“Hari ini merupakan detik bersejarah bukan sahaja kepada penggiat industri penyiaran tanah air tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia yang mana di sinilah bermula langkah pertama untuk kita beralih daripada siaran televisyen analog kepada siaran digital.
“Dari aspek modul pelaksanaan Malaysia telahpun menggunakan pendekatan yang agak berbeza untuk mencapai aspirasi ini, di mana kerajaan telah melantik syarikat Mytv Broadcasting Sdn. Bhd. sebagai penyedia infrastuktur bersepadu (CIIP) melalui inisiatif swasta ataupun satu inisiatif dana persendirian,” katanya di Kompleks Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Daerah Langkawi, di sini hari ini.

Gobind (lima dari kanan) bergambar bersam-sama penerima dekoder myFreeview, ketika majlis pengumuman, di sini.
Pulau Langkawi menjadi lokasi pertama mendapat siaran televisyen digital myFreeview sepenuhnya tanpa siaran analog lagi.
“Proses ujian selama dua minggu telah berjalan dengan lancar dan maklum balas yang diterima adalah sangat berguna bagi pihak kementerian untuk menambah baik proses peralihan secara berperingkat.
“Susulan penyelesaian pembinaan infrastruktur televisyen digital dan pengagihan dekoder percuma serta kempen-kempen pendidikan dan kesedaran yang telahpun dilaksanakan oleh pihak Mytv dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM), projek rintis peralihan siaran digital telah bermula di Pulau Langkawi pada 21 Julai 2019 yang lalu,” katanya lagi.
Gobind Singh turut menjelaskan bahawa kerajaan berhasrat untuk meneruskan proses peralihan siaran televisyen analog ke digital ke seluruh negara tetapi mengikut beberapa peringkat.
“Dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tidak ketinggalan dan boleh bersama-sama menikmati manfaat siaran televisyen digital myFreeview ini, sejumlah dua juta unit dekoder percuma telahpun diedarkan kepada penerima-penerima bantuan sara hidup yang layak.”
“Saya yakin peralihan ini akan memberikan satu suntikan baharu kepada semua pengamal industri penyiaran tempatan dan juga rakyat Malaysia dalam usaha mencorak dan mengukir wajah baharu dunia penyiaran tanah air,” tambahnya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Suriani Datuk Ahmad, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak, Pengerusi myFreeview Johan Ishak serta Ketua Pegawai Eksekutif Mytv Broadcasting Sdn. Bhd. Michael Chan.
-SH