Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Larangan Kenderaan Berat Jalan Selayang-Rawang Waktu Puncak

By 21 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Kesesakan lalu lintas yang kerap berlaku di kawasan Taman Templer terutama waktu puncak bakal diselesaikan apabila larangan terhadap kenderaan tersebut dilaksanakan.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata larangan yang dikuatkuasakan sejak 14 Ogos tersebut melibatkan kenderaan berat dengan muatan lima tan dan ke atas yang sering rosak serta menjadi antara punca kesesakan di kawasan itu.

“Ia melibatkan jarak sejauh lapan kilometer di Jalan Kuala Lumpur-Tanjung Malim bermula stesen minyak Caltex Selayang Pandang hingga susur Rawang Bypass pada waktu pagi (6.30 pagi – 9.30 pagi) dan petang (3.30 petang – 7 malam) di hari bekerja.

“Masalah kesesakan trafik di kawasan itu sering dibangkitkan serta pernah dibawa ke Parlimen untuk cadangan pelebaran jalan dengan tambahan satu lorong mendaki dengan kos RM10 juta namun disebabkan kewangan negara yang terhad ianya belum dapat dilaksanakan,” katanya.

(Dari kiri) Chua Wei Kiat, William Leong dan Mohd Sany menunjukkan warta Kerajaan Persekutuan berkaitan larangan kenderaan berat lima tan pada waktu puncak Jalan Selayang-Rawang.

(Dari kiri) Chua Wei Kiat, William Leong dan Mohd Sany menunjukkan warta Kerajaan Persekutuan berkaitan larangan kenderaan berat lima tan pada waktu puncak Jalan Selayang-Rawang.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan, ADUN Rawang, Chua Wei Kiat dan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak, Som Pong Pichan.

Mengulas lanjut, William menjelaskan bahawa larangan kenderaan berat itu merupakan langkah penyelesaian jangka pendek yang paling sesuai bagi mengatasi kesesakan trafik di kawasan itu di waktu puncak.

“Kenderaan berat terutama lori sering rosak di jalan tersebut terutama di laluan berbukit menyebabkan trafik menjadi perlahan dan menyebabkan kesesakan jalan raya.

“JKR Gombak akan memasang papan tanda peringatan dalam masa terdekat dan pemakluman penguatkuasaan larangan itu juga telah diedarkan kepada agensi-agensi berkaitan,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda