Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Lebih 100,000 Pengunjung Dijangka Memeriahkan KUD Zon Sabah

By 14 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU,14 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 100,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Sabah anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan, pada 22 hingga 25 Ogos ini, di Kompleks Sukan Likas.

Karnival itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pada 24 Ogos, bermula jam 9.30 pagi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, KUD yang julung kalinya diadakan di Sabah akan menghimpunkan seramai 350 usahawan seluruh Malaysia iaitu 70 peratus daripadanya adalah usahawan tempatan Sabah yang terdiri daripada usahawan di bawah KPLB Sabah, Kementerian Perdagangan Dan Perusahaan Industri Sabah dan usahawan lain di bawah kementerian-kementerian negeri. 

“Oleh itu kita mengalu-alukan orang ramai mengunjungi karnival ini untuk melihat sendiri pelbagai produk tempatan bercirikan masyarakat Sabah termasuk kraftangan, pelancongan desa, inap desa dan produk-produk usahawan luar bandar Sabah.

“Daripada 350 usahawan yang akan menyertai pameran dan jualan produk mereka, 80 peratus adalah usahawan wanita,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Post Kabinet, di BIlik Mesyuarat KPLB Sabah, pada Rabu.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, antara objektif karnival itu adalah untuk mempromosi serta menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk atau perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli selain mengadakan jualan secara terus kepada pengguna.

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta menerokai peluang pasaran baru yang lebih besar sama ada dalam atau luar negara dengan pengurusan pemasaran secara sistematik.

Ewon (dua dari kiri), Christnie (empat dari kanan), bergambar bersama Rasinin (kiri), Dumi (tiga dari kiri) dan Aftar (lima dari kanan).

Ewon (dua dari kiri), Christnie (empat dari kanan), bergambar bersama Rasinin (kiri), Dumi (tiga dari kiri) dan Aftar (lima dari kanan).

“Saya berharap KUD ini akan menjadi platform kepada para usahawan luar bandar kita mempromosi produk mereka masing-masing seterusnya mengintai pasaran yang lebih besar di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementera itu Timbalan Pengarah KPLB Persekutuan Christni Alus berkata, sepanjang karnival itu berlangsung, pelbagai acara menarik disusun termasuk pertandingan karaoke, pertandingan ratu cantik, mini konsert oleh artis tempatan dan ceramah keusahawanan.

“Antara artis Sabahan yang dijemput untuk memeriahkan KUD ialah Francis Landong, Kumpulan Estranged, Elica Paujin, Velvet Aduk, Atmosfera, Atu Zero dan beberapa artis yang tidak asing lagi seperti Datuk M.Nasir, Andi Bernadee, Hafiz Suip dan banyak lagi.           

“Acara akan bermula pada jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari. Semua acara diadakan di perkarangan Kompleks Sukan Likas,” katanya.

Christni berkata, pihak penganjur turut menyediakan hadiah kepada booth terbaik dan usahawan wanita terbaik sebagai penghargaan kepada usahawan wanita yang menyertai KUD. 

“Unduk atau Ratu KUD ini berbeza dengan pertandingan ratu cantik yang lain yang dianjurkan di peringkat negeri. Ini kerana peserta Unduk akan memperagakan pakaian atau hasil rekaan pereka-pereka tempatan menggunakan motif Sabah,” katanya.

Hadir sama pada mesyuarat itu dua Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Rasinin Koutis dan Dumi Pg.Masdal, Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Aftar Nurajat dan pegawai-pegawai kanan KPLB Sabah.

ER

Tinggalkan komen anda