Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

KMJG19: Jalur Gemilang Lambang Negara Berdaulat

By 14 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Idham Ishak/Nizam Zanil (Putrajaya)

KUALA TERENGGANU, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – “Jalur Gemilang merupakan lambang negara berdaulat,” itu antara intipati ucapan Menteri Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang bagi peringkat negeri Terengganu serta pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG)19 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri dalam ucapannya juga turut memuji inisiatif Konvoi KMJG19 anjuran Jabatan Penerangan kerana ianya mampu meningkatkan serta menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

“Semoga golongan belia terus menghayati erti kemerdekaan dengan mengingati jerih perih pejuang kemerdekaan negara terdahulu di samping menjadikan Jalur Gemilang sebagai lambang negara berdaulat dan perlu dihormati serta terus dikibarkan sebagai tanda cintakan negara,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu memberikan ucapan

Ahmad Samsuri ketika memberikan ucapan perasmian.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bentara Dalam Datuk Mohd Zahari, Ketua Konvoi KMJG19, Suwadi Guliling dan lebih 1000 tetamu terdiri daripada Exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan, pelajar sekolah, pemimpin masyarakat dan tetamu lain.

Majlis turut diserikan dengan persembahan sketsa Jiwa Bersih daripada Persatuan Teater Anak-Anak Bangkit Terengganu dan juga perarakan masuk membawa bendera Jalur Gemilang oleh 30 orang anggota Rejimen 512 Askar Wataniah bersama Brassband Gabungan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Askar Wataniah dan juga Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Persembahan sketsa Jiwa Bersih dari Persatuan Teater Anak-Anak Bangkit Terengganu

Persembahan sketsa Jiwa Bersih dari Persatuan Teater Anak-Anak Bangkit Terengganu

Perarakan masuk membawa bendera Jalur Gemilang

Perarakan masuk membawa bendera Jalur Gemilang

Wisma Darul Iman turut menjadi lokasi ketiga dan destinasi terakhir konvoi pada hari ini selepas singgah di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kemaman dan SJK(C) Kwang Hwa, Dungun, yang turut menyediakan perkhidmatan ujian kesihatan yang menjadi perhatian peserta konvoi selain pameran oleh Jabatan Penerangan Negeri Terengganu.

Peserta KMJG yang tidak melepaskan peluang untuk memeriksa kesihatan

Peserta KMJG tidak melepaskan peluang untuk memeriksa kesihatan

Konvoi KMJG19 akan meneruskan lagi perjalanan sejauh 256 kilometer pada hari esok ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Perpustakaan Awam Setiu Terengganu serta Mydin Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan.

-II-

Tinggalkan komen anda