
Laporan/foto: Robin Junang / Abdul Latip Shamsudin (Kuching)
SAMARAHAN, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG) Peringkat Daerah Samarahan disambut di perkarangan Bangunan Wisma Persekutuan Kota Samarahan.
Majlis tersebut dirasmi oleh Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Norizan Jili dan dihadiri lebih 150 penjawat awam terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan serta agensi yang terdapat di Bangunan Wisma Persekutuan Samarahan.
Di dalam ucapan perasmian, Norizan Jili menyeru agar penjawat awam berusaha mempupuk semangat patriotik serta membentuk jati diri unggul bagi mewujudkan generasi yang memiliki jiwa nasionalisme yang tinggi.

Acara pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dilakukan oleh Norizan sambil disaksikan oleh tetamu-tetamu jemputan
Beliau turut menyatakan meskipun Malaysia sudah menjangkau usia 62 tahun merdeka dari penjajahan namun masih terdapat sebilangan pihak yang tidak bertanggungjawab menimbulkan isu-isu perkauman dan keagamaan.
“Setiap penjawat awam haruslah mempunyai rasa tanggungjawab dalam menunaikan amanah serta fokus terhadap mutu kerja dengan memperbaiki kekurangan sedia ada demi masa depan negara yang lebih cemerlang,” tambah beliau ketika berucap merasmikan program KKJG.
Manakala Pegawai Penerangan Daerah Samarahan, Abdul Latif amat berterima kasih di atas kerjasama serta sokongan jabatan dan agensi di Wisma Persekutuan bagi menjayakan program tersebut.
“Selaku pengelola majlis ini saya berharap mana-mana program anjuran kami pada akan datang terus mendapat sokongan dan kerjasama daripada jabatan dan agensi yang terdapat di bangunan ini,” tambah beliau.
Pada program tersebut sebanyak 15 buah kenderaan daripada 11 agensi menyertai konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang. Antara yang terlibat ialah Jabatan Penerangan Daerah Samarahan, .Jabatan Pergigian, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan KEMAS, Jabatan Belia dan Sukan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahanan Awam, RELA dan Ambang Wira Sdn Bhd.
Konvoi KMJG bergerak sejauh 17 kilometer bermula dari perkarangan Bangunan Wisma Persekutuan Kota Samarahan mengelilingi Daerah Samarahan dan kembali semula ke Bangunan Wisma Persekutuan.
Program ini merupakan aktiviti tahunan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama jabatan dan agensi persekutuan bertujuan untuk menggalakkan orang ramai agar mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di kenderaan, rumah, bangunan kerajaan dan premis-premis perniagaan sepanjang Bulan Kebangsaan.
Antara pengisian program ialah Nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Jalur Gemilang, simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua-ketua jabatan, simbolik melekat bendera di kenderaan, pelepasan konvoi KMJG dan dialog Timbalan Setiausaha Persekutuan bersama dengan ketua-ketua jabatan di Wisma Persekutuan.
Hadir sama, Pegawai Pergigian Bahagian Samarahan, Dr. Thaddius Herman Maling, Pegawai Penerangan Daerah Samarahan, Abdul Latip Shamsuddin serta ketua jabatan dan agensi di Wisma Persekutuan Kota Samarahan