Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

4,000 Tempat Duduk Bertingkat Untuk Orang Awam Sempena Hari Kebangsaan 2019

By 28 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebanyak 4,000 tempat duduk bertingkat atau kemudahan ‘Human Terrace’ disediakan Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk orang awam yang hadir bagi menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 pada 31 Ogos ini, di sini.

Pengarah Komunikasi Korporat PPj Tengku Aina Tengku Ismail Shah, berkata kemudahan tempat duduk lima tingkat itu terletak dari Menara Prisma ke bulatan Kementerian Kewangan dan disediakan untuk memberi keselesaan kepada orang ramai yang hadir.

“Ini adalah kemudahan baharu yang kita sediakan pada tahun ini untuk para pengunjung selain ruang tontonan lain yang disediakan sepanjang laluan perbarisan dan persembahan pada sambutan hari bersejarah itu,” katanya kepada Bernama.

Putrajaya adalah tuan rumah bagi acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. Tema Hari Kebangsaan tahun ini adalah Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Tengku Aina berkata PPj, selaku pihak tanggungjawab untuk menyelaras persiapan logistik bagi sambutan hari kemerdekaan ke-62 itu, juga menyediakan kemudahan human terrace 12 tingkat untuk dif-dif kehormat dengan kapasiti kira-kira 1,500 orang.

Bagi pengunjung yang membawa kenderaan, Tengku Aina berkata terdapat 3,000 ruang parkir di kawasan sekitar Presint 2,3 dan 4 disediakan.

Selain itu terdapat perkhidmatan bas percuma dari Putrajaya Sentral, Ayer8 dan MyFarm ke kawasan acara berlangsung yang disediakan bermula jam 7 pagi hingga 2 petang, katanya.

Bagi menyemarakkan semangat sambutan bulan kemerdekaan, Tengku Aina berkata PPj mengedarkan sebanyak 11,750 bendera kepada semua Majlis Perwakilan Penduduk di Putrajaya untuk dipasang di semua kawasan perumahan.

“Kita juga telah memasang 1,500 bendera di sekitar jalan-jalan utama dan lebuh protokol, bangunan dan premis milik PPj bermula pada 17 Ogos selain menghantar surat pemakluman pemasangan bendera ke semua permis swasta di sekitar Putrajaya,” katanya. — BERNAMA

Tinggalkan komen anda