
Laporan /foto : Siti Mariam Aziz Rashid/Ninie Farahana Kamarulzaman (Kota Kinabalu)
RANAU, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Politeknik Kota Kinabalu (PKK) akan terus komited merancang dan mengadakan pelbagai program di kawasan luar bandar agar maklumat berhubung bidang TVET meliputi Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional dimaklumi kalangan belia dan beliawanis.
Menyedari pentingnya promosi dan pendedahan tersebut, PKK melalui Jabatan Kejuruteraan Mekanikal telah melaksanakan Program Outreach bersama lebih 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut, di Dewan Mini Kg. Karagasan, Ranau baru-baru ini.
Kg. Karagasan yang terletak sejauh 74 km daripada pekan Ranau merupakan antara kampung di bawah Mukim Kaingaran bersama 19 buah kampung lain, antaranya Gusi, Gan, Kiwakau, Betung, Namaus Ulu Sugut dan Giring.
Program selama dua hari itu merupakan anjuran bersama PKK dan Jawatankuasa Belia Kg. Karagasan yang melibatkan seramai 13 orang daripada PKK terdiri daripada 9 pensyarah dan 4 pelajar dalam bidang mekatronik.
Sementara itu, para peserta program merupakan pelajar tingkatan tiga hingga lima SMK Ulu Sugut, Ranau yang berasal daripada kampung-kampung berdekatan.

Riadah……Abd. Razak (berdiri kiri) dan Ninie (berdiri empat dari kanan) bersama peserta lain PKK menikmati suasana kampung sebelum meneruskan program bagi sesi malam.
Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Abdul Razak Mohd. Daim yang mengetuai rombongan PKK berkata, Program Outreach yang dianjurkan bertujuan memberi pendedahan dan maklumat kepada pelajar SMK Ulu Sugut serta belia dan beliawanis di Kg. Karagasan, berkaitan pendidikan kemahiran khasnya pengetahuan dalam bidang asas robotik, serta peluang pendidikan dan pengajian tinggi yang ditawarkan di PKK.
“Program ilmu yang disertakan konsep tanggungjawab sosial selama dua hari ini sudah pasti memberi impak positif bukan sahaja kepada para peserta program.
“Sebaliknya memberi ruang kepada pihak pengurusan Politeknik untuk membuat perancangan strategik dengan fokus diberikan kepada program di kawasan luar bandar dan terpencil pada masa akan datang.

Phillips (duduk) dan Ninie semasa menyampaikan taklimat kepada para peserta sebelum tugasan dimulakan
“Dengan adanya pendedahan dan perkongsian seperti ini, kita dapat sedikit sebanyak membantu anak-anak muda ini untuk berusaha mengubah cara hidup mereka dan keluarga mereka melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran,”katanya.
Di samping itu, program ini juga adalah antara langkah dalam usaha memenuhi keperluan tenaga kerja dalam bidang teknikal selaras dengan usaha Negara untuk terus membangun seiring dengan Negara maju yang lain.
Sementara itu, Ninie Farahana Kamarulzaman yang juga pensyarah PKK berkata, pengalaman dua hari menyertai program selaku tenaga penceramah merupakan pengalaman yang sangat mencabar dari segi fizikal dan mental yang tidak boleh dilupakan.
Mengimbau semula pengalamannya, perjalanan masuk ke Kg. Karagasan melalui jalan yang tidak berturap sejauh 74 km daripada Pekan Ranau merupakan cabaran pertama yang dilalui mereka sebelum sampai ke destinasi sebenar.
“Kami dibawa menuju ke Kg. Karagasan dengan menaiki sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda.
“Perjalanan masuk ke dalam kampung memang agak mencabar kerana terpaksa melalui jalan gravel, berdebu dan berbatu selama tiga jam setengah,” kata Ninie.
Setibanya rombongan PKK pada jam 2.00 petang, mereka terus memulakan program Pengenalan Peluang Pendidikan Tinggi di Politeknik Malaysia yang disampaikan oleh Ketua Program Mekanikal, Sahrizan Mohamad Sahari.
Program kemudiannya diteruskan dengan pendedahan kepada asas elektronik diadakan oleh Ketua Program Mekatronik, Philips Dharmaraj dengan dibantu pensyarah dan pelajar PKK yang turut serta.
Seterusnya para pelajar SMK Ulu Sugut diajar dan didedahkan tentang komponen-komponen asas elektronik dan cara memasang litar asas.
Kesemua program yang diadakan di Dewan Mini Kg. Karagasan berlangsung dalam keadaan agak kurang selesa kerana kampung tersebut tidak mempunyai sumber elektrik yang tetap dan hanya bergantung kepada generator yang dihidupkan pada sebelah malam selama 4 jam sahaja.
Namun semangat dan minat para peserta yang amat tinggi dan begitu teruja dalam menyelesaikan cabaran tugasan yang diberikan oleh pensyarah PKK, mengatasi suasana panas dan mencabar yang dialami kesemua mereka yang berada di dalam dewan kampung tersebut .
Cabaran perkongsian ilmu diteruskan lagi pada sebelah malam dalam bentuk sesi motivasi yang disampaikan oleh Abdul Razak, bertujuan menyuntik semangat cintakan ilmu dan mewujudkan kesedaran anjakan komuniti melalui pendidikan kepada para pelajar.
Meskipun hanya berbekalkan cahaya lampu telefon bimbit dan ditemani cahaya bintang, ternyata sesi tersebut memberi kesan mendalam kepada para pelajar yang rata-rata bercita-cita untuk merubah nasib keluarga dan kampung mereka yang dikasihi.
Melalui sesi perkongsian tersebut, latarbelakang para pelajar yang hadir cukup memberi kesan kepada para pensyarah dan pelajar PKK.
Terdapat pelajar yang terpaksa berjalan kaki selama tiga jam ke sekolah setiap hari dari rumah, dan ada juga antara pelajar yang masih tidak tahu hala tuju mereka selepas tamat pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.
Keadaan hidup mereka dalam serba kekurangan dari segi keperluan asas yang tidak lengkap ini amat membuka mata dan menginsafkan para peserta PKK, yang mensyukuri nikmat sedia ada yang mana jauh lebih baik berbanding dengan para pelajar program yang memerlukan.
Sungguhpun dalam serba kekurangan dari segi keperluan asas, masyarakat Kg. Karagasan kaya dengan budi bahasa dan ramah mesranya serta memberi layanan dan bantuan terbaik kepada rombongan PKK sepanjang program berlangsung. Masyarakatnya seramai lebih 200 penduduk itu, turut menghidangkan buah-buahan hasil tanaman mereka yang juga merupakan antara aktiviti dan sumber pendapatan mereka.
Di akhir program pada hari kedua, para pensyarah bersama pelajar SMK Ulu Sugut berkongsi dapatan hasil yang diperolehi sepanjang program dijalankan. Ternyata para pelajar amat bersemangat dan menunjuk minat yang berkobar-kobar untuk melanjutkan pengajian ke Politeknik Malaysia dan seterusnya memasang niat serta bercita-cita untuk mengubah nasib diri dan keluarga mereka.
Wakil Ketua Kg. Karagasan, Galpam Abdullah pada majlis penutup program melahirkan rasa bangga dan penghargaan atas kunjungan dan program yang dilaksanakan oleh Politeknik KK untuk pelajar SMK Ulu Sugut yang terdiri daripada anak-anak yang tinggal di kampung-kampung berdekatan.
“Kami amat berterima kasih atas usaha pihak Politeknik KK yang telah datang untuk mengajar anak-anak kami dan berharap agar mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi anak cemerlang dan berjaya di masa hadapan nanti, ” kata Galpam yang juga merupakan Ketua Kampung Gusi.
Turut hadir dalam majlis penutup program, Pengerusi Belia Kg. Karagasan, Juvinah Anggong; Ustaz Helmi selaku guru pengiring pelajar SMK Ulu Sugut, Ahli Jawatankuasa Belia serta masyarakat Kg. Karagasan.

Ketua Kampung Gusi, Galpam bin Abdullah (empat kiri) menyampaikan hadiah kumpulan terbaik kepada para pelajar SMK Ulu Sugut sambil disaksikan oleh Abd. Razak (tiga dari kiri)
Program Outreach seperti ini ternyata mencapai matlamat untuk memberi pendedahan peluang pendidikan dan pada masa yang sama membantu mencungkil potensi dalam kalangan pelajar luar bandar dalam pelbagai bidang, terutamanya untuk cemerlang dalam pendidikan dan menjadi ejen perubahan bagi masyarakat tempatan khususnya masyarakat Kg. Karagasan, Ranau.
ER