
Laporan/ foto: Idham Ishak/ Nizam Zanil (Putrajaya)
KUBANG KERIAN, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang tiba di negeri Kelantan pada 3.30 petang disambut dengan hujan lebat di Mydin Kubang Kerian.
Konvoi memasuki hari kedua pada hari ini setelah berehat tiga hari selepas merayakan Hari Raya Aidiladha telah memulakan perjalanannya dari Kuala Terengganu dan menuju ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak sebagai hentian pertama.
Konvoi disambut oleh pihak pengurusan dan pelajar universiti tersebut dan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Razali Idris.

Ketibaan peserta konvoi diketuai Suwadi Guliling dari Jabatan Penerangan disambut Senator Datuk Razali Idris.
Razali mengingatkan para pelajar dan tetamu yang hadir agar sentiasa menghargai pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu.
“Dalam memperjuangkan kemerdekaan negara ini, jangan dipecahkan ruyung yang sudah disimpul mati,” ujarnya penuh makna.
Seterusnya, konvoi menghala ke Perpustakaan Awam Setiu yang dijadikan sebagai destinasi kedua hari ini.
Peserta konvoi disambut oleh Ketua Penolong Daerah Setiu Mohd. Fakhrol Ruzi Ibrahim, sebelum disajikan persembahan istimewa silat dan juga dikir barat.
Selain dari menjadi destinasi terakhir buat konvoi di negeri Terengganu kali ini, ketua konvoi telah menerima kejutan apabila dihadiahkan sebiji durian sebagai tanda penghargaan daripada pihak urusetia.
Seterusnya, Mydin Kubang Kerian Kota Bharu menjadi hentian terakhir dan yang pertama buat negeri Kelantan sebelum meneruskan penjelajahan di negeri ini pada keesokan harinya.
Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan, SAC Abdullah Mohammad Piah ini berlangsung dengan lancar walaupun dalam keadaan hujan lebat.
Esok peserta konvoi akan meneruskan perjalanan sejauh 222 kilometer ke RTC Tunjung, Kota Bharu dan Pasar Bukit Bunga, Jeli serta Kolej Teknologi Tinggi Mara Lenggong, Perak.
-II-