
Laporan/foto: Syed Hisham Shah/Nizam Zanil (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Setelah mengharungi perjalanan sejauh 1705 kilometer merentasi empat buah negeri; Melaka, Johor, Pahang dan Kuala Lumpur, konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG)19 kini berhenti seketika bagi memberi peluang kepada Sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut Ahad ini.
Hari pertama konvoi dimulakan di bandar raya bersejarah Melaka sejurus pelepasan konvoi disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Pahlawan malam sebelumnya menuju ke Pekan Parit Jawa Muar, sebelum ke Pusat Informasi Pelancongan (TIC) Pontian dan mengakhiri kembara hari pertama di Galeria Kotaraya UTC di Johor Bahru.
Konvoi yang disertai seramai 133 orang peserta melibatkan 62 kenderaan terdiri daripada 17 pacuan empat roda, 30 motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Permotoran J17 dan 15 buah motosikal Polis Trafik Bukit Aman ini kelihatan bersemangat dan cukup teruja apabila singgah di hentian pertama di Pantai Leka Pekan Parit Jawa, Muar.
Disambut oleh kumpulan anak-anak Tabika Perpaduan dengan keletah masing-masing hingga ada yang berebut bendera membuatkan peserta konvoi dan orang ramai terhibur dengan aksi comel mereka.
Seterusnya konvoi KMJG19 singgah di Terminal Pengangkutan Awam Pontian
dan disambut penuh kemesraan oleh pihak tuan rumah dengan menaja setiap peserta konvoi dengan perkhidmatan menggunakan tandas (rujuk artikel https://malaysiaaktif.my/61247).
Selesai acara di sana, konvoi bergerak seterusnya ke Johor Bahru City Centre yang merupakan destinasi terakhir kembara pada hari pertama dan disambut Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Johor Bahru, Datuk Amran A. Rahman dengan penuh kemeriahan.

Aksi pengamal media daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang mengambil peluang membonceng motosikal berkuasa tinggi sambil membuat rakaman.
Konvoi hari kedua dimulakan dengan sesi taklimat ringkas dan senaman yang memperlihatkan pelbagai gelagat peserta dan hari tersebut juga menyaksikan pengamal media berebut untuk merasai pengalaman menunggang motosikal berkuasa tinggi sambil merakam foto dan video untuk siaran agensi masing-masing.
Persinggahan penuh warna-warni di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit, Kulai dengan persembahan tarian singa dan koir oleh pelajarnya cukup dirasai perserta KMJG19 sebelum konvoi bergerak ke Pusat Khidmat Ahli Parlimen Simpang Renggam, Kluang.
Bagaimanapun ahli konvoi sedikit kecewa kerana hasrat untuk bertemu ahli parlimen tersebut merangkap Menteri Pendidikan tidak kesampaian kerana Dr. Maszlee Malik berada di luar kawasan ketika itu.
Kekecewaan tersebut sedikit terubat apabila ahli konvoi disambut penuh kemeriahan oleh Menteri Besar Johor Datuk Dr Shaharudin Jamal, di Laman Rumah Limas Tangkak untuk pelancaran di peringkat negeri.
Hari ketiga kembara diteruskan ke Negeri Pahang dengan destinasi persinggahan pertama di Politeknik Muadzam Shah Rompin yang disambut laungan perang oleh 40 Askar Wataniah sebagai simbolik semangat patriotisme (rujuk artikel https://malaysiaaktif.my/61477) sebelum kumpulan konvoi bergerak ke Universiti Automotif DRB-Hicom (DHU) Pekan.
Mengundang rasa kagum peserta konvoi apabila dalam majlis sambutan tersebut disajikan dengan persembahan puisi kemerdekaan oleh pelajar DHU yang berasal dari Pakistan sebelum mengakhiri konvoi sejauh 342 kilometer di Perkarangan UTC Kuantan.
KMJG19 meneruskan kembara pada hari keempat dengan hentian pertama adalah di SMK Paya Pulai Temerloh yang disambut oleh 500 warga sekolah tersebut dengan pelbagai persembahan menarik, dan yang mencuri tumpuan adalah persembahan nyanyian beat box busking yang dipimpin Cikgu Zar’aei.
Bagi pelancaran di peringkat negeri, konvoi diraikan di Perkarangan Dataran Bentong dengan sambutan penuh beradat diiringi Pesilat Silat Cekak Ustaz Hanafi dan dihiburkan oleh ‘Abang Bomba’ Syafiq Farhain sebelum kembara KMJG19 melabuhkan penjelajahan mereka di SMK Seksyen 5 Setiawangsa.
Konvoi KMJG19 akan menyambung kembara mereka menjelajahi baki negeri di seluruh semenanjung pada 14 Ogos nanti melewati pantai timur sebelum ke utara, turun semula ke bahagian tengah dan mengakhiri kembara dengan menyertai perbarisan pada 31 Ogos nanti.
-SH