
Laporan/Foto: Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – Kira-kira 500,000 ekor anak udang galah dilepaskan ke dalam aliran Sungai Linggi di Pangkalan Nelayan Kampung Sungai Timon sebagai langkah membantu para nelayan kecil di kawasan berkenaan yang menghadapi masalah kemerosotan hasil tangkapan udang galah sejak akhir-akhir ini.
Menurut salah seorang nelayan di sini, Ariffin Buang, antara faktor yang menyebabkan kekurangan udang galah adalah aktiviti pengambilan pasir di kawasan sempadan sungai yang menyebabkan undang galah beralih habitat ke kawasan lain yang air sungainya lebih jernih.
“Besar harapan kami agar baka udang galah ini akan hidup dan membiak tanpa ada sebarang gangguan seperti pengunaan racun oleh pihak-pihak tertentu.
“Kami juga amat berterima kasih kepada kerajaan negeri melalui Pejabat Perikanan Daerah Rembau dan juga semua agensi pertanian di negeri ini di atas usaha membantu para nelayan dengan mengambil langkah melepaskan anak udang galah ini,” ujarnya ketika ditemui, di sini semalam.
Program perlepasan anak udang galah yang dianggarkan berjumlah RM90 ribu ini juga merupakan salah satu inisiatif untuk memberi manfaat kepada masyarakat setempat dari segi ekonomi dan juga rekreasi, di samping mengekalkan kesinambungan spesis udang galah berkenaan.
Majlis telah disempurnakan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Bakri Sawir dan turut dihadiri Pembantu Pegawai Perikanan Daerah Rembau Mohd Faizal Md Nor.
-AK