Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Suara Merdeka Anak Muda “Kelab Malaysiaku” Marang Bergema

By 14 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: RA Othman (Marang)

MARANG, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – “Ya Tuhanku, Kau peliharakanlah kemerdekaan ini supaya kekal selamanya agar dapat kami meneruskan perjuangan ini.” Inilah antara bait doa kemerdekaan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Berangan (SMKPB) Marang semasa melafazkan doa kemerdekaan sempena Majlis Perasmian Bulan Kebangsaan Peringkat SMKPB 2019 yang diadakan baru-baru ini.

Bulan Ogos merupakan bulan yang ditunggu-tunggu kemunculannya. Ini adalah kerana pada bulan inilah akan terpamernya semangat serta perpaduan masyarakat di Malaysia dalam menghayati erti kemerdekaan.

Bagi memastikan kempen penghayatan kemerdekaan dapat dirasai dan sama-sama dijiwai oleh masyarakat Negara ini, Jabatan Penerangan Malaysia telah mengambil inisiatif melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 peringkat kebangsaan pada 3 Ogos lalu di Melaka.

Tema pada kali ini “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” adalah sejajar dengan mesej dan seruan untuk terus menyayangi negara tercinta sekaligus menjadikan negara ini bersih daripada segala perlakuan tidak baik seperti amalan rasuah dan pecah amanah selain pemeliharaan negara agar sentiasa bersih.

Bagi peringkat negeri, pelancaran bulan kebangsaan diadakan mengikut ketetapan bersama komuniti mahupun pelajar-pelajar sekolah di daerah masing-masing. Melalui pendekatan ini, Pejabat Penerangan Daerah Marang turut berkerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Marang serta beberapa buah sekolah menengah kebangsaan untuk mengadakan majlis pelancaran melalui Kelab Malaysiaku sekaligus menganjurkan beberapa aktiviti menjurus ke arah memupuk semangat perpaduan antara kaum dan kecintaan pada negara.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran,  Mohd Nasir Ibrahim bersama Pegawai Penerangan Daerah Marang, Puan Adawiyah Othman membebaskan dua (ekor) burung sebagai gimik perasmian. Pembebasan 2 ekor burung adalah simbolik mengenang semula merdekanya Malaysia daripada tangan penjajah.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Mohd Nasir Ibrahim bersama Pegawai Penerangan Daerah Marang, Puan Adawiyah Othman membebaskan dua (ekor) burung sebagai gimik perasmian. Pembebasan 2 ekor burung adalah simbolik mengenang semula merdekanya Malaysia daripada tangan penjajah.

“Pada tahun ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan adalah sekolah pertama yang menganjurkan majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan peringkat SMKPB 2019. Ini merupakan satu penghormatan buat kami warga SMKPB,” kata Guru Penolong Kanan Pentadbiran (GPKP), Mohd Nasir Ibrahim.

Beliau turut berterima kasih kepada Pejabat Penerangan Daerah Marang kerana memberi sokongan padu dalam merealisasikan program ini serta menyampaikan mesej perpaduan melalui ceramah kemerdekaan yang disampaikan kepada pelajar-pelajar.

“Pihak SMKPB berterima kasih dan bersyukur kerana dengan terjalinnya kerjasama seperti ini, sedikit sebanyak pihak kerajaan dapat memupuk dan menyuburkan semangat patriotisme dalam masyarakat khususnya anak muda sekarang. Jadi, pendekatan di sekolah adalah langkah bijak dan bertepatan dalam menyebar luas agenda dan dasar-dasar kerajaan baharu ini”, tambah beliau lagi.

Ikrar Rukun negara dibacakan dengan penuh semangat sekaligus menzahirkan semangat cintakan negara

Ikrar Rukun negara dibacakan dengan penuh semangat sekaligus menzahirkan semangat cintakan negara

“Walaupun pada masa ini pelajar-pelajar sedang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan PT3, ianya tidak menjadi satu masalah untuk kami di sini menganjurkan kempen seperti ini kerana selain menerapkan rasa cinta pada negara, pelajar-pelajar juga turut dilibatkan dalam pelbagai aktiviti semarak merdeka”.

Antara aktiviti yang digarap bersama Pejabat Penerangan Daerah Marang adalah Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG), syair kemerdekaan, pertandingan pantun dan sajak kemerdekaan, kayuhan merdeka serta pelbagai lagi aktivit menarik.

Selepas SMKPB, majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan 2019 peringkat sekolah akan diadakan di SMK Bukit Sawa, SMK Wakaf Tapai, SMK(A) Durian Guling, SMK Tun Telanai, diikuti dengan SMK Seberang Marang, SMK Merchang, SMK Rusila dan akhir sekali di SMK Tengku Lela Segara.

-II-

Tinggalkan komen anda