
Laporan/foto : Noor Hidayah Mohd Izam/Mazlin Basir (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 350 pengunjung menghadiri Program Stop It! Survive (S.I.S) peringkat daerah Batu Pahat yang diadakan di Dewan Jubli Intan Batu Pahat, disini.
Program ini diadakan bagi menunjukkan sokongan kepada para wanita dan ia merupakan salah satu daripada kempen yang diwujudkan oleh kerajaan bagi menangani keganasan terhadap wanita melalui perlaksanaan secara NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Darul Ta’zim (YPKDT) daerah Batu Pahat, HELWA daerah Batu Pahat, AMANITA PDRM daerah Batu Pahat, KEMAS daerah Batu Pahat dan PUSPANITA daerah Batu Pahat.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor merangkap ADUN (Kawasan Penggaram) Gan Peck Cheng ketika berucap di Majlis Perasmian Program Stop It Survive (S.I.S) daerah Batu Pahat.
“Walaupun wanita berperanan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara golongan ini sering menjadi mangsa dalam pelbagai bentuk dan kelakuan keganasan tidak hanya berlaku secara fizikal malah turut berlaku secara mental,” ujar Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor merangkap (ADUN) Kawasan Penggaram, Gan Peck Cheng ketika berucap merasmikan Program Stop It! Survive (S.I.S) peringkat daerah Batu Pahat, disini.
Report Working Together: Case Studies in Domestic Violence Response 2015 menunjukkan senario ini disokong melalui statistik seramai 44 orang (40%) daripada 110 wanita didera secara fizikal dan mental oleh pasangan mereka lebih daripada 5 tahun, manakala 41 peratus lagi didera diantara umur 1 hingga 5 tahun dan selebihnya kurang daripada 1 tahun.
Ini membuktikan bahawa sebanyak 81 peratus wanita pernah menjadi mangsa penderaan dan masalah ini berlaku secara global dan bukan sahaja di Malaysia.
Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 3,424 kes yang membabitkan keganasan rumah tangga sejak tahun 2013 hingga Mei 2019 dan statistik ini menunjukkan berlakunya peningkatan pada setiap tahun dengan 583 kes (2013), 541 kes (2014), 633 kes (2015), 671 kes (2016), 681 kes (2017) dan 315 kes (sehingga Mei 2019).
Keganasan yang dilakukan terhadap wanita merangkumi keganasan rumah tangga, rogol, sumbang mahram, penderaan dan negeri Johor merupakan negeri kedua tertinggi bagi kes terbabit selepas negeri Selangor.
Rentetan daripada masalah tersebut, Program Stop It! Survive (S.I.S) dianjurkan di daerah Batu Pahat bertujuan untuk memperluaskan pengetahuan dan meningkatkan kesedaran wanita dan masyarakat tentang punca keganasan terhadap wanita seterusnya memperkenalkan beberapa medium atau saluran yang tepat untuk mangsa keganasan melaporkan keganasan yang berlaku ke atas diri mereka.
Antara maklumat yang disalurkan kepada mereka yang hadir ialah mengenai mengenai Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) pindaan 2012, kewujudan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita, Talian Nur 15999 dan Childline 15999 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta One Stop Crisis Centre (OSCC) yang ditubuhkan di hospital-hospital besar kerajaan di seluruh negara.
Terdahulu, Kaunselor Profesional Berdaftar Zuraidah Daud yang turut hadir sebagai penceramah jemputan menekankan tentang hak-hak keselamatan golongan wanita yang telah disediakan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Jabatan Kebajikan Masyarakat akan mengambil tindakan sekiranya berlaku keganasan di bawah kes IPO, PO dan EPO iaitu di mana waran tangkap akan dikeluarkan terhadap pelaku sekiranya berlaku pelanggaran perintah perlindungan yang diarahkan oleh pihak JKM,” katanya lagi.
Inspektor Vighneswari dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Pahat pula berkata jenayah merupakan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang manakala definisi keganasan adalah tindakan mencederakan orang secara paksaan dan sengaja, serta pencelaan dan penderaan dari segi fizikal dan mental.
Turut hadir memberi sokongan iaitu penceramah terkenal, Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan Wan Akashah Wan Abdul Hamid.
-NI-