Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Doa Sayangi Malaysiaku Pupuk Toleransi Rakyat Berbilang Kaum

By 3 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan dan foto: M Zakry Chan (Melaka)

MELAKA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang yang bakal dilancarkan malam ini, Jabatan Penerangan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah menganjurkan Program Doa ‘Sayangi Malaysiaku’ Penganut-Penganut Agama bagi memohon kesejahteraan negara.

Menurut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau merangkap Ahli Undangan Negeri(ADUN) kawasan Banda Hilir, Tey Kok Kiew, Jabatan Penerangan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) merupakan sekretariat bagi acara sambutan bulan Kebangsaan dan perkara ini dizahirkan sehinggalah ke peringkat daerah.

Upacara Doa 'Sayangi Malaysiaku' yang diadakan di Gurdwara Sahib Banda Kaba, di sini.

Upacara Doa ‘Sayangi Malaysiaku’ yang diadakan di Gurdwara Sahib Banda Kaba, di sini.

“Program julung kali yang diadakan ini menyenaraikan empat rumah ibadat penganut-penganut agama termasuklah agama Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian dan objektif program hari ini antaranya adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cintakan tanah air dalam kalangan penganut-penganut pelbagai agama.

“Elemen agama sememangnya memainkan peranan penting bagi membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia, semua agama amat menitikberatkan toleransi, persaudaraan dan nilai moral yang tinggi dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap di Gurdwara Sahib Banda Kaba, di sini hari ini.

Menurut Kok Kiew lagi, kepelbagaian agama membentuk identiti nasional berlandaskan Perlembagaan dan Rukun Negara ke arah pembentukan masyarakat yang harmoni, memahami dan menghormati.

Generasi muda harus menghayati semangat Kemerdekaan negara - Gurdip Singh.

Generasi muda harus menghayati semangat Kemerdekaan negara – Gurdip Singh.

Bagi Gurdip Singh, 37, hari kemerdekaan merupakan peristiwa penting dan bersejarah yang disambut secara besar-besaran dan semua ini dilakukan bersama dengan penuh rasa muhibah dan kemesraan oleh seluruh rakyat di negara yang tercinta tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.

“Kemerdekaan Malaysia perlulah dihayati dan paling penting dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi selepas merdeka,” ujar Gurdip.

Tiga lagi lokasi program Doa Sayangi Malaysiaku berlangsung di Kuil Sri Sithi Vinayamar Sri Bala Subramaniar Alaya Paribalana Sabai Kampung Pengkalan Alor Gajah, Gereja St. Fracis Xavier Banda Hilir dan Tokong Sek Chia Eenh Jalan Gajah Berang.

-SH

Tinggalkan komen anda