
Laporan /foto: Ramasamy Amas (Jempol)
JEMPOL, 14 Sep (Malaysiaaktif) – “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, begitulah ungkapan yang paling bermakna kepada tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan Tanah Melayu,” kata Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shabli Arshad ketika berucap merasmian penutupan Program Merdeka@Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir (Model Khas), di sini semalam.
Beliau berkata, kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah hasil permulaan tokoh-tokoh perjuangan yang menentang penjajahan Inggeris ke atas Tanah Melayu selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.
“Tokoh-tokoh terdahulu memikirkan hanya melalui pendidikan sahaja dapat menentang penjajahan kerajaan Bristish dan ekoran daripada itu wujudlah sekolah-sekolah pondok yang pertama diasaskan oleh Syed Abdul Rahman di negeri Terengganu serta Pendeta Zaaba tokoh pendidikan yang banyak menulis buku yang boleh meningkatkan semangat nasionalisme,” ujarnya ketika berucap.
Shabli juga menyeru agar pelajar meningkatkan disiplin yang tinggi dan jangan leka dengan media sosial yang tidak berfaedah dan menggunakan teknologi terkini ke arah kebaikan yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa.
Dalam pada itu Pengetua SMK Batu Kikir, Norhayati Minal, berkata tujuan program ini diadakan adalah untuk merangsang semangat nasionalisme dalam kalangan murid-murid serta melahirkan generasi muda yang peka kepada sejarah tanah air Malaysia.
“Di samping itu pihak sekolah juga telah melaksanakan pelbagai program bagi menggalakkan serta memupuk semangat patriotik dan perpaduan kaum dalam kalangan murid serta meraikan Hari Kebangsaan dan Hari setiap tahun,” katanya ketika ditemui di sini.
Majlis sambutan diserikan lagi dengan upacara sambutan Hari Lahir warga sekolah lahir pada 31 Ogos dan 16 September.
– AK