Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kerjasama Masyarakat Mampu Kawal Aedes, Denggi

By 30 September 2019Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamisah Sumar/Muhammad Shah Hood (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 30 Sept (Malaysiaaktif) – Denggi terus menjadi masalah utama kesihatan di negara kita walaupun pelbagai langkah diambil bagi menanganinya namun peningkatan kes denggi sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.

Dari Januari hingga September 2019, sebanyak 6,439 kes denggi dilaporkan di negeri Johor berbanding 3,131 kes bagi tempoh sama tahun lalu yang menunjukkan peningkatan sebanyak 48 peratus.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika merasmikan Program Penutup Gotong-Royong Denggi ke-12 dan Majlis Penyampaian Sijil kepada Penduduk Blok G dan H, Taman Skudai Kanan mengakui angka itu memang mengejutkan dan beliau turut menyatakan kebimbangannya tentang virus denggi yang kini berbeza di mana banyak kes baharu yang dilaporkan adalah daripada jenis yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Akmal berharap semua pihak perlu lebih aktif dalam melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

Akmal berharap semua pihak perlu lebih aktif dalam melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

Demam denggi berdarah antara penyakit yang menjadi ketakutan dalam kalangan masyarakat di mana ia dipercayai boleh menyebabkan kegagalan hati berfungsi, radang paru-paru dan jangkitan otak.

Akmal menyatakan kebimbangan terhadap trend peningkatan kes denggi dan menyeru masyarakat supaya mengambil langkah segera dengan membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes agar wabak penyakit ini dapat dikawal dengan baik.

“Dengan peningkatan kes kematian akibat denggi ini, saya berharap semua pihak perlu lebih aktif melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi serta langkah pencegahan perlu diambil dengan menghapuskan kawasan pembiakan aedes di dalam dan luar kediaman sekurang-kurangnya seminggu sekali,” katanya.

Pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru turut hadir memberikan taklimat berkaitan demam denggi.

Pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru turut hadir memberikan taklimat berkaitan demam denggi.

Tindakan membanteras penyakit denggi perlu dipertingkatkan kerana ianya merupakan satu ancaman yang perlu ditangani dengan bijak dan berkesan bagi mengurangkan kes kematian.

Menyedari seriusnya wabak denggi kini, beliau mencadangkan supaya satu mekanisme atau strategi pencegahan yang lebih efektif dilaksanakan segera agar jumlah kes denggi dapat diturunkan dan momentum penurunan itu dikekalkan.

Persoalannya berapa ramai daripada kita yang peduli tentang peningkatan kes denggi dan kematian akibat virus itu serta pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan termasuk kempen kesedaran bahaya denggi dan diharap  pasukan sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) yang ditubuhkan di negeri-negeri dapat membantu membanteras denggi.

Orang ramai perlu diberitahu dengan jelas bahawa nyamuk aedes boleh membiak di tempat-tempat takungan air seperti pasu bunga, tayar buruk, bekas menyimpan air dan tempat-tempat pembiakan nyamuk itu perlu dihapuskan serta beberapa tindakan mudah seperti menukar air di dalam pasu bunga dan bekas air minuman haiwan peliharaan bagi mencegah nyamuk dari terus membiak.

“Memandangkan faktor penyumbang kepada peningkatan kes seperti mobilisasi masyarakat, perubahan cuaca, serotaip virus denggi dan tabiat nyamuk sukar untuk dikawal, maka kaedah memerangi wabak yang lebih berkesan dan kos efektif ialah dengan memastikan persekitaran bersih dan tiada pembiakan aedes.

“Tindakan ini dapat menghalang virus denggi disebarkan dari satu individu kepada individu yang lain,” katanya.

Tambah beliau lagi, perubahan sikap masyarakat adalah diperlukan supaya sentiasa mementingkan kebersihan persekitaran, membuang sampah secara berhemah dan menjadikan aktiviti mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes sebagai amalam setiap minggu.

“Masyarakat perlu tahu bahawa semburan kabus hanya membunuh nyamuk dewasa di kawasan yang dilakukan semburan sahaja dan oleh itu, selepas habis kesan semburan, telur nyamuk aedes yang menjadi pupa boleh menjadi nyamuk dewasa pada bila-bila masa sahaja, seterusnya boleh menyebarkan virus denggi.

“Selain itu, ketika semburan dilakukan, nyamuk boleh terbang jauh untuk mengelak daripada kesan semburan dan akan terus menyebarkan virus denggi di tempat yang lain pula,” ujarnya.

“Oleh itu, orang ramai perlu meluangkan masa selama 10 minit seminggu untuk menjalankan aktiviti memeriksa, mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan rumah masing-masing dengan memberi tumpuan di tempat rak pinggan, bawah sinki, tangki dan mangkuk tandas duduk.

“Untuk membersihkan tempat pembiakan nyamuk, kita tidak boleh hanya membuang airnya sahaja tetapi perlu memberus dinding bekas untuk membuang telur dan menyiram dengan air panas yang suhunya melebihi 80 darjah celcius untuk membunuh telur nyamuk,” ujarnya lagi.

Nyamuk aedes merupakan nyamuk yang mudah hidup dan paling cepat membiak serta ia sukar dihapuskan kerana kitaran pembiakannya hanya mengambil masa selama seminggu.

Tahap kesedaran masyarakat hari ini yang rendah perlu dipertingkatkan untuk bersama-sama memerangi penyakit ini memandangkan walaupun banyak maklumat yang telah disalurkan melalui pelbagai medium oleh kerajaan dan agensi tentang nyamuk aedes, namun hingga kini penyakit denggi masih sukar diatasi malahan kes semakin meningkat.

Semua pihak perlu lebih serius dan aktif bertindak menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes, dapatkan maklumat secukupnya dan turut sama mendidik orang lain untuk bersama-sama bertindak membanteras penyakit denggi.

Penduduk di kawasan berkepadatan tinggi seperti flat dan taman-taman perumahan perlu bertanggungjawab dalam membersihkan kawasan yang disyaki menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Aktiviti gotong-royong perlu dilakukan untuk membanteras pembiakan nyamuk aedes dengan memastikan persekitaran tempat tinggal bersih namun budaya bekerjasama ini masih kurang.

Wabak denggi direkodkan semakin membimbangkan, justeru orang ramai perlu memandang serius dan mengambil langkah pencegahan berkesan, “perangi denggi, cegah sebelum kena,” katanya lagi.

-NI-

Tinggalkan komen anda