Laporan/Foto: Juslie Bacle / Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)
PUTATAN , 30 Sept (Malaysiaaktif) – Orang ramai khususnya masyarakat kawasan daerah Putatan digesa agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat demi menjaga kebersihan.
Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai berkata, masalah kebersihan menjadi isu yang diperkatakan setiap hari di mana sikap orang ramai yang suka membuang sampah merata-rata dan tidak mempedulikan aspek kebersihan.
“Masalah sampah dan kebersihan berlaku di seluruh tempat dan ini terjadi kerana sikap dan budaya kita sendiri yang suka membuang sampah merata tempat tanpa ambil peduli perihal kebersihan.
“Oleh itu, saya menyeru kepada masyarakat agar menjaga kebersihan di samping menerap dan menyemai kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.
Uda berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gotong Royong Perdana sempena Hari Pembersihan Sedunia (World Cleanup Day) di sini, pada Sabtu.
Gotong royong tersebut disertai oleh anggota keselamatan dari Kem Lok Kawi, Polis Diraja Malaysia, Majlis Daerah Putatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan serta sukarelawan.
Hadir sama pada program, wakil Ahli Parlimen P.173 Putatan, Roland Blimbin dan wakil Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Abd Rahim Diawah.
ER