
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan memaklumkan maklumat yang tular di media sosial berkaitan Komuniti Harapan Malaysia (KHM) adalah bersifat palsu dan fitnah.
Jabatan Penerangan menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan malam tadi menjelaskan bahawa KHM merupakan gerakan sukarelawan komuniti yang menjadi rakan strategik jabatan tersebut.
“Penubuhan KHM membantu jabatan dalam menerangkan maklumat kerajaan dan isu-isu semasa dengan cepat, tepat dan sahih serta memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan komuniti setempat.
“KHM turut memantau dan mengumpul isu-isu dan kehendak komuniti setempat untuk perhatian dan tindakan penambahbaikan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serta membantu memaju dan memperkasakan keupayaan dan daya saing,” menurut kenyataan itu.
Keahlian KHM adalah bersifat sukarela dan terbuka kepada komuniti setempat dan tidak dibayar gaji atau elaun seperti yang didakwa.
-SH