Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

PMM Johan Kategori IPT/IPTS Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan

By 18 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rozer Masudin (Melaka)

MERLIMAU, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) sekali lagi mengharumkan nama Negeri Melaka apabila berjaya menggondol kedudukan johan pada Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2019.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PMM, Mohamad Nazri Ismail, berkata kemenangan tersebut bukti kesungguhan semua warga PMM baik pensyarah mahupun pelajar dalam memastikan PMM mendapat keputusan terbaik dalam pertandingan ini.

“Ini merupakan percubaan kali pertama menyertai pertandingan ini tanpa mempunyai sebarang pengalaman berbanding agensi lain yang telah banyak kali mencuba.

Replika KLCC yang diperbuat daripada botol terpakai menarik perhatian juri pertandingan.

Replika KLCC yang diperbuat daripada botol terpakai menarik perhatian juri pertandingan.

“Semua usaha ini bermula daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang digerakkan oleh Pegawai Hal Ehwal Pelajar, Mohd Shafie Osman. Alhamdulillah, walau tiada sebarang panduan, PMM berjaya memikat hati juri bagi memberi kemenangan,” katanya, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd Hoirie Abdul Manah selaku Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar pula berkata, penggemblengan tenaga dan kreativiti daripada semua jabatan akademik amat menyumbang besar terhadap kemenangan ini.

“PMM amat bertuah kerana setiap ketua jabatan, pensyarah serta para pelajarnya sentiasa komited dalam menghias dan menghasilkan Sudut Bulan Kebangsaan bagi tahun 2019.

“Sebagai contoh, Jabatan Pelancongan & Hospitaliti telah menghasilkan bangunan KLCC yang diperbuat daripada botol minuman kitar semula dan juga menghasilkan bendera gergasi daripada papan telur terbuang”, katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian.

Dalam majlis anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka itu, beberapa kategori Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2019 telah diadakan dan penyampaian hadiah telahpun diserahkan kepada semua pemenang.

PMM menjadi satu-satunya institusi pendidikan tinggi yang memenangi anugerah tersebut pada tahun ini.

-SH

Tinggalkan komen anda