Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Produk TYT Jiang Tang Ling Mengandungi Racun Berjadual

By 6 September 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 6 Sep (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional TYT Jiang Tang Ling yang dikesan mengandungi racun berjadual glibenclamide.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan pendaftaran produk ini telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) semalam berikutan pengesanan racun berjadual glibenclamide di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

“Glibenclamide merupakan racun berjadual dan pembekalan ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual adalah tertakluk kepada Akta Racun 1952, di mana ianya hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar atau ahli farmasi berlesen.

“Penggunaan Glibenclamide tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan paras gula yang terlalu rendah di dalam darah dan seterusnya mengakibatkan sawan atau tidak sedarkan diri kepada pesakit,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Noor Hisham turut mengingatkan penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta, di mana penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahankesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya lagi.

Pengguna yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan segera untuk menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam turut boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’ daripada Google Play Store.

-SH

Tinggalkan komen anda