
Laporan/foto: Juslie Bacle/ Mohd Nasrie Tapisil (Kota Kinabalu)
TUARAN, 12 Sept (Malaysiaaktif) – Rakyat perlu sentiasa menghayati Rukun Negara dalam kehidupan bagi memastikan negara terus harmoni dan stabil.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kerajaan mewujudkan Rukun Negara sejak tahun 1970 sebagai ideologi memupuk semangat perpaduan dan keharmonian kaum.
“Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara mestilah kita hayati dan amalkan agar keamanan dan perpaduan yang telah kita kecapi selama ini terus terpelihara dan terjaga.
“Jika setiap orang di negara ini berpegang kepada ideologi dan prinsip Rukun Negara serta menghormati perlembagaan yang termaktub, saya yakin kestabilan negara kita tidak akan mampu digugat oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Begitu juga dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih amat sesuai dengan hasrat serta kesungguhan kerajaan baharu untuk membendung dan menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang boleh meruntuhkan sesebuah negara,” katanya.

Madius (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang salah satu kategori Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Merdeka@Komuniti Sayangi Malaysiaku:Malaysia Bersih anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah di Dewan Pekan Kiulu pada Selasa.
Turut diadakan adalah penyampaian hadiah Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan anjuran JaPen yang menerima tujuh penyertaan melalui kategori Kampung, Taman Perumahan, Individu, Pintu Gerbang, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Bangunan Kerajaan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Tuaran merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program, Mohd Soffian Alfian Nair, Setiausaha Politik Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Joisin Romut, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Jefry Teo, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kiulu, Suali Sikir dan Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin.
ER