Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

172 Projek Untuk Kontraktor Kelas G1

By 12 September 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri menyediakan 172 projek bernilai RM7. 2 juta untuk diagihkan menggunakan sistem tender terbuka kepada kontraktor kecil (G1) bumiputera bagi kerja-kerja penyelenggaraan infra jalan negeri seluruh Selangor.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata sistem tender terbuka ini julung kali diadakan selari dengan hasrat kerajaan negeri terhadap kelangsungan dan pembangunan kontraktor bumiputera.

“Projek tersebut melibatkan kerja pembaikan jalan, pemotongan pokok, pemasangan bonggol, penyelenggaraan longkang dan yang berkaitan dengan tender bagi projek bernilai di bawah RM50,000.

“Program tender terbuka ini julung kali diadakan selari dengan hasrat kerajaan negeri terhadap kelangsungan dan pembangunan kontraktor bumiputera,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata kerajaan negeri menyedari kekangan dan kesukaran dihadapi kontraktor bumiputera dalam saingan kerja industri pembinaan yang semakin kompetetif.

“Diharapkan penglibatan kontraktor bumiputera dalam pelaksanaan kerja-kerja berskala kecil ini mampu memantapkan pengalaman dan kepakaran kontraktor.

Kontraktor kecil G1 bergambar bersama Menteri Besar, Amirudin Shari selepas majlis pelancaran Terder Terbuka di JKR Gombak.

Kontraktor kecil G1 bergambar bersama Menteri Besar, Amirudin Shari selepas majlis pelancaran Terder Terbuka di JKR Gombak.

“Saya yakin peluang yang disediakan kerajaan negeri akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh kontraktor bumiputera bagi memajukan syarikat dan diri masing-masing agar mencapai prestasi yang setanding kontraktor lain di peringkat negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Program Kerja Undi G1 JKR Selangor 2019 di Bangunan JKR Daerah Gombak, Bandar Baru Selayang di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JKR Selangor, Ir Rozita Mat Senapi, ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan, ADUN Kuang, Salehuddin Amiruddin dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Amirudin turut menjelaskan bahawa peruntukan bagi projek-projek itu menggunakan peruntukan sedia ada tanpa melibatkan peruntukan tambahan.

“Ianya hasil penjimatan yang dilaksanakan oleh JKR Selangor serta disokong di peringkat daerah. Usaha ini selari dengan dasar kerajaan dalam mengamalkan perbelanjaan berhemah.

“Kita tidak menolak untuk menyediakan peruntukan tambahan pada masa akan datang memandangkan infra merupakan satu keperluan, namun ia bergantung kepada statusnya, sekiranya kritikal kita akan beri keutamaan,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda