
Laporan/ foto: Mohd Zahari Zakaria/ Ariza Mohd Zaki (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Majlis Pecah Tanah Dewan Permatang Pasir telah disempurnakan pagi semalam oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk IR. Haji Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Dewan yang bakal dibina ini dijangka siap pada Disember 2020, akan memberi manfaat kepada rakyat Permatang Pauh umumnya dan khususnya kepada rakyat di DUN Permatang Pasir, kata Ahmad Zakiyuddin.
Perbelanjaan bagi projek dewan ini adalah RM 3.25 juta dengan keluasan 932.75 meter per segi dan telah memulakan projek pada 15 Ogos 2019.
Projek dewan ini dilakukan oleh kontraktor bumiputra dan diselia oleh JKR Daerah Seberang Perai Tengah, tambahnya.
Dewan yang bakal dibina ini akan mempunyai 3 gelanggang badminton, surau, kemudahan untuk OKU, sistem penghhawa dingin, pentas dan juga parkir, katanya lagi.
Ahmad Zakiyuddin juga berharap dewan yang bakal dibina ini dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Dewan ini akan memberi kemudahan yang banyak kepada rakyat, apatah lagi DUN Permatang Pasir yang masih belum ada dewan yang besar sebegini dengan menggunakan peruntukkan daripada Kerajaan Negeri sendiri.
Beliau juga telah menyempurnakan majlis pecah tanah selepas selesai daripada ucapan perasmian.
Hampir 150 orang telah hadir memeriahkan majlis ini yang berlangsung di tapak bersebelahan SJKC Kubang Semang.
Turut hadir pada majlis ini adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil, Jurutera Daerah JKR, Mantan ADUN Permatang Pasir, Datuk Salleh ManPengerusi dan Setiausaha MPKK serta Pengerusi Masjid dan Surau.
-II-