Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Alor Setar)
ALOR SETAR, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjelaskan dalam merangka bajet negeri, kerajaan buat pertama kalinya memberi ruang kepada semua pihak untuk mengambil bahagian.
“Sesi ini melibatkan semua jabatan negeri, daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-Badan Berkanun Negeri dan GLC, dengan mengadakan sesi dialog bajet yang membincangkan hala tuju dan bidang keutamaan tahun 2020 bagi Negeri Kedah.
“Bajet kali ini bertemakan “Bajet Berhemah Bina Kemakmuran Bersama” yang akan menumpukan kepada enam fokus utama,” katanya ketika Sidang Bajet 2020 Negeri Kedah sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Mukhriz turut memaklumkan dalam fokus ketiga yang tertumpu kepada “Membina Kemakmuran Rakyat”, seramai 4,511 orang wanita terdiri daripada wanita berkeluarga, ibu tunggal dan suri rumah tanpa pendapatan tetap dan telah berdaftar e-Kasih telah dipilih menerima bantuan kewangan bagi pembelian barang-barang runcit bawah Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).
“Kerajaan telah menerima peruntukan bagi Program KIDA daripada Kerajaan Persekutuan yang diselaraskan oleh NCIA, di mana setiap pemegang kad KIDA diperuntukkan sebanyak RM250 sebulan bagi membeli barangan keperluan asas di kedai-kedai yang ditetapkan, dan sejak pelancaran program ini seramai 4,362 penerima telah mendapat manfaat dengan perbelanjaan purata RM230 sebulan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan program pemerkasaan kepada setiap ahli keluarga penerima KIDA, di mana mereka yang telah selesai menjalani sesi pemprofilan akan diberi latihan kemahiran mengikut bidang yang diminati bermula November ini dan dipercayai program ini dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan usahawan muda dari golongan B40,” tambahnya.
-SH