
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/Suhana Mohd Ariffin (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Buat julung kalinya, Yayasan Warisan Johor menganjurkan Festival Hujung Medini bagi memartabatkan warisan budaya Johor dikalangan generasi muda yang bakal mewarisi warisan muzik tradisional peninggalan nenek moyang seperti kompang.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata Festival Hujung Medini 2019 ini adalah kompilasi beberapa program utama kerajaan negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor yang bermula 12 Oktober 2019 sehingga 17 Oktober 2019 bertempat di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar.
Ujar Mohd Khuzzan lagi, persembahan muzikal tari serta muzik rakyat juga turut dipertandingkan mengikut peringkat usia dan genre bersempena dengan festival ini.
“Festival Hujung Medini buat pertama kali membawakan sajian Warisan Johor yang menghimpunkan juadah-juadah istimewa dari daerah-daerah di negeri Johor di mana penganjuran sajian warisan Johor tetap diusahakan malah tetap disajikan sehingga kini.
“Pada tahun hadapan, Negeri Johor akan menjadi tuan rumah kepada dua program utama negara iaitu Tahun Melawat Johor 2020 dan Sukan Malaysia (SUKMA) di mana Yayasan Warisan Johor telah merencanakan pelbagai program yang dapat menyokong dan mendorong pelaksanaan tahun melawat Johor dan SUKMA,” kata beliau sebelum mengakhiri ucapannya.
Pada hari terakhir Festival Hujung Medini 2019 telah berlangsungnya pertandingan kompang, gendang 24 dan gendang India yang menghimpunkan pelbagai kaum serta budaya yang ada di negara ini di mana ia mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada seluruh rakyat Johor yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Salwa Dawar, guru seni dan kebudayaan merangkap guru penyelaras bidang kebudayaan SMK Sri Gading Batu Pahat bersama hadiah kemenangan kategori terbuka.
Pertandingan ini merupakan pertandingan secara berkumpulan yang mengetengahkan irama tradisional sebagai eleman utama dan penyertaan pertandingan kali ini mendapat perhatian dari pelbagai kaum sekali gus menzahirkan rasa cinta terhadap warisan budaya khususnya muzik tradisional.
Salwa Dawar, 54, guru seni dan kebudayaan merangkap guru penyelaras dalam bidang kebudayaan SMK Sri Gading Batu Pahat meluahkan rasa bangga dengan para pelajarnya kerana meraih johan untuk kategori kompang wanita.
“Pelbagai manfaat diperoleh daripada festival ini termasuk mendidik para pelajar tentang bidang muzik khususnya muzik tradisional kompang serta memupuk semangat displin dan yakin diri di kalangan pelajar,” katanya.
Tambah beliau lagi, persiapan untuk menyertai pertandingan kebiasaannya para pelajar akan berlatih pada setiap petang selepas waktu persekolahan di mana konsep ‘tradisional Johor’ menjadi isian penting untuk kompang tradisional.
Festival Hujung Medini sebagai satu lambang memartabatkan warisan budaya dalam muzik tradisional untuk warisan rakyat agar generasi muda terutamanya pelajar sekolah menghargai budaya warisan negeri Johor.
-NI-