Laporan/foto: Fasharina Kholil/Zainoodin Isa (Sik)
SIK, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Hari Kokurikulum yang dianjurkan saban tahun di sekolah-sekolah antara lain bertujuan bagi memperkasakan budaya keusahawanan dalam diri pelajar di samping memberi peluang untuk mempelajari kemahiran berniaga serta membantu memahami cara menguruskan sesuatu perniagaan.
Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda (SKSAM), Zainoodin Isa, menjelaskan usaha tersebut langkah yang baik dalam memberikan pendidikan praktikal kepada para pelajar selain merapatkan hubungan antara pihak sekolah dan komuniti luar.
“Program sebegini memberi pendedahan kepada murid mengenai kaedah perniagaan dan mengaplikasikan ilmu dipelajari dalam kehidupan seharian.
“Ia juga membolehkan murid merasai sendiri suasana sebenar sebagai usahawan,” ujarnya ketika ditemui pada Hari Kokurikulum SKSAM Belantik, di sini semalam.
Zainoodin turut menambah, terdapat pelbagai jenis barangan jualan seperti ulam-ulaman, ayam kampung serta daging kambing dijual oleh pelajar-pelajar tahun satu hingga enam.
“Sambutan yang diterima juga adalah diluar jangkaan tambahan pula dengan kehadiran waris serta komuniti setempat yang datang memberikan sokongan padu kepada pelajar serta pihak sekolah.
“Usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah ini juga adalah bagi melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan sosial selain dapat memupuk semangat kerjasama, toleransi, bertanggungjawab dan muhibah dalam kalangan murid,” tambahnya.
-SH