
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Karya seni naif mungkin kelihatannya sangat mudah dihasilkan, kerana jika dilihat ia umpama sebuah contengan, lakaran ataupun ‘doodle’ yang dibentuk hingga menjadi karya indah.
Namun menurut pelukis tempatan, Awang Fadilah Ali Hussein, karya seni naif walaupun nampak mudah tetapi ia memerlukan bakat yang tinggi malahan sebagai seorang pelukis, setiap daripada mereka perlu punya identiti yang tersendiri.
“Seni naif mempunyai golongan peminat sendiri dan kebanyakannya merupakan pelancong dari luar, oleh sebab itu banyak lukisan saya yang akan dikirim ke luar negara kerana banyak permintaan dari sana.
“Sebelum ini saya membuka galeri di rumah sahaja yang menyebabkan pelancong-pelancong ini sukar untuk mendapatkan karya saya, namun selepas membuka gerai di Jalan Gaya setiap malam Jumaat dan Sabtu serta siang Ahad, permintaan semakin meningkat.
“Tetapi saya masih juga menyimpan hasrat untuk memiliki premis sendiri, selepas lebih kurang empat bulan mencari lokasi yang strategik serta harga sewa yang sesuai, akhirnya saya dapat juga membuka premis di sini,”ujar Awang Fadilah ketika ditemui di premis miliknya yang terletak di Kompleks Asia City.
Antara produk yang dipamerkan dan boleh diperoleh pada mini galeri milik Awang Fadilah seperti lukisan, poskad, baju, cenderahati dengan harga serendah RM6.00 hingga ribuan ringgit.
Dalam pada yang sama, Awang Fadilah turut gembira menerima kehadiran, Kurator Galeri Balai Seni, Jennifer P. Linggi serta rakan dan keluarga yang hadir ke mini galerinya sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap bakat seninya.
Menurut Awang Fadilah, beliau akan menyertai pameran yang dijalankan di Pusat Konservasi Balai Seni Lukis Sabah yang dijadualkan pada penghujung Oktober ini.
ER