Laporan/foto: Suhana Mohd Ariffin, Musliha Yusof/ Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin (Johor Bahru)
PASIR GUDANG, 20 Okt (Malaysia Aktif) – Program santai “Teh Tarik 2.0: Fashion and Beauty Luncheon” sehari bersama Kolej Komuniti Pasir Gudang begitu dinantikan di mana objektif utama program ini adalah untuk menyebar luas maklumat yang tepat dan terkini tentang KKPG kepada masyarakat serta mewujudkan ‘networking’ antara jemputan dan warga kolej ini.
KKPG menawarkan tiga bidang utama yang berkaitan ‘fashion and beauty‘ iaitu Sijil Fesyen dan Pakaian, Sijil Terapi Kecantikan dan Spa dan Sijil Dandanan Rambut.
Slot yang menarik perhatian tetamu yang hadir ialah pertunjukan ‘fashion & beauty show‘ dari para pelajar semester tiga kursus Fesyen dan Pakaian.
Timbalan Pengarah Akademik KKPG Jamaliah Salbi berkata tema bagi ‘fashion and beauty show‘ pada semester kali ini adalah ‘Revamp 4.0’ yang bermaksud sesuatu perubahan baru yang selaras dengan Industri 4.0.
Industri 4.0 adalah trend baharu yang canggih dan berpengaruh dalam proses produksi sektor manufaktur termasuklah sektor industri fesyen dan selain daripada itu, Revamp 4.0 juga boleh dikatakan pengolahan gaya dan nafas baru dalam stail yang diperkenalkan oleh para pelajar era moden.
“Saya percaya dengan adanya program sebegini, para pelajar dapat menunjukkan hasil karya mereka yang terbaik.”
“Sebenarnya mereka juga dapat menghasilkan kerja yang berkualiti walaupun hanya mengikuti pengajian di Kolej Komuniti,” ujarnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Ketua Acara ‘Fashion and Beauty Show‘ ini berpendapat bahawa program seperti ini dapat memupuk sikap kerjasama serta membentuk keyakinan diri para pelajar dalam mempamerkan hasil kerja yang dihasilkan sekali gus, membantu pelajar untuk mengembangkan kreativiti mereka dan melalui acara sebegini, mereka dapat mempamerkan hasil karya kepada para tetamu.
Fashion and Beauty Show merupakan projek akhir bagi para pelajar semester tiga Kursus Fesyen dan Pakaian, malah turut melibatkan para pelajar semester dua dari kursus Terapi Kecantikan dan Spa untuk solekan para peragawan serta peragawati yang memperagakan busana semasa pertunjukan fesyen.
Pelajar semester Tiga Kursus Fesyen dan Pakaian, Nur Kamalia Izzati Muhamad Nor, 19, adalah merupakan salah satu pereka busana untuk acara Fashion & Beauty Show pada kali ini dan beliau telah menghasilkan busana yang diberi nama “Betta Fish” (Ikan Laga).
“Acara pada hari ini dapat menonjolkan lagi bakat saya dalam bidang fesyen serta menjadi inspirasi kepada orang lain supaya ianya dilihat sebagai satu keunikan,” katanya yang teruja dengan hasil kerjanya.
“Konsep busana songket adalah inspirasi daripada ikan laga termasuk insang, sisik dan ekor menjadi elemen utama dalam penghasilan busana tersebut.”
“Walaubagaimanapun, penghasilan busana songket ini mempunyai cabarannya tersendiri dari segi jahitan kain serta manik-manik yang terletak di atas busana ini dan ia juga menggunakan bahan-bahan seperti songket, renda, chiffon dan net halus untuk menjadikan busana ini lebih menarik dan eksklusif,” ujarnya lagi.
Program pada hari ini juga adalah sebagai salah satu inisiatif oleh warga Kolej Komuniti Pasir Gudang untuk dipamerkan kepada komuniti mengenai kebolehan para pelajar setanding dengan pelajar dari institusi pengajian kemahiran yang lain.
Program ini turut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat di sekitar Pasir Gudang dan juga wakil-wakil dari Jabatan Kerajaan serta agensi.
-NI-