
Laporan: Marryan Razan (Kota Kinabalu)
KUALA PENYU, 20 Okt (Malaysiaaktif) – Perayaan Odou Bakanjar yang disambut masyarakat Tatana berpotensi untuk dijadikan produk pelancongan di negeri ini khususnya di daerah Kuala Penyu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kekayaan khazanah budaya etnik-etnik yang terdapat di negeri ini merupakan aset penting dalam industri pelancongan sekaligus dapat memacu ekonomi masyarakat dan negeri ini.
Beliau berkata Sabah mempunyai pelbagai etnik dan kaya dengan tradisi budayanya.
Misalnya masyarakat etnik Tatana yang terdapat di Kuala Penyu dan Parlimen Beaufort adalah salah satu etnik penting di Sabah di samping semua etnik lain yang terdapat di daerah tersebut dan seluruh Sabah.
“Oleh itu saya berharap perayaan etnik seperti Odou Bakanjar akan menjadi produk pelancongan sebagai daya penarik kehadiran lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara ke Sabah, khususnya di daerah Kuala Penyu,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Perayaan Odou Bakanjar kali ke-6, di Perkampungan Rumah Budaya, Pekan Kuala Penyu, di sini, pada Sabtu.
Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Shafie berkata, Perayaan Odou Bakanjar juga berperanan sebagai medan mempamerkan adat, seni dan budaya masyarakat Tatana agar kekayaan budaya ini terus diwarisi generasi muda.
“Saya mengharapkan agar generasi muda mempunyai minat yang tinggi dalam mempelajari dan mewarisi kebudayaan yang amat bernilai ini.
“Generasi muda janganlah terlalu dibuai dengan kecanggihan teknologi gajet dan media sosial sahaja.
“Sebaliknya gunakan gajet dan media sosial sebagai wadah untuk mempelajari dan menyebarkan keistimewaan kebudayaan tradisi kita.
“Saya percaya, usaha ini akan dapat memulihara budaya etnik yang meliputi, makanan, tarian, muzik tradisi, pakaian, bahasa, sastera, adat-istiadat dan sebagainya yang merupakan identiti bagi suatu etnik,” katanya.
Shafie berharap, melalui Perayaan Odou Bakanjar, semangat persahabatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat akan terus mekar dan terpelihara.
“Ini kerana perpaduan merupakan aset penting sebagai pendorong kemajuan pembangunan negeri ini seperti yang kita harapkan,” katanya.
Selain itu katanya, pemahaman terhadap budaya suatu masyarakat dan etnik merupakan satu perkara penting kerana akan dapat mengeratkan semangat persaudaraan dalam masyarakat.
“Semangat persaudaraan yang tinggi akan memantapkan pula silaturahim dan perpaduan dalam kalangan semua etnik dan kaum di negeri ini.
“Perpaduan ini akhirnya akan dapat memelihara serta mengekalkan suasana aman damai di Sabah dan Malaysia amnya,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; Presiden Persatuan Kebudayaan Tatana Sabah (STCA), Tan Sri Wences Angang; Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah, Datuk Mansur Asun; Pegawai Daerah Kuala Penyu merangkap Pengerusi Penganjur, Sebastian Ingkim dan para pemimpin setempat.
ER