
Laporan/foto: Eviannie Kin/ Marusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KUDAT, 24 Okt (Malaysiaaktif) – ‘Segalanya Sabah ada, bah!’, antara kata-kata gambaran netizen mengenai keindahan dan keaslian khazanah alam di Negeri Bawah Bayu yang tular di media sosial.
Paparan gambar puncak Gunung Kinabalu hinggalah pulau-pulau yang dikelilingi laut yang membiru pasti memberi keinginan setiap individu mahu meneroka ke negeri ini.
Ada juga mengatakan bahawa tidak perlu pergi jauh, cukup hanya ke Sabah sahaja kerana suasananya seakan-akan seperti di luar negara.
Walaupun dalam keghairahan galakan industri pelancongan di negeri ini, aktiviti kelestarian dan pengurusan ekosistem mampan amat giat dilakukan dengan secara berterusan bagi memastikan keseimbangan biodiversiti dan sosioekonomi.
Taman Tun Mustapha Khazanah Laut
Sebuah lagi khazanah alam menjadi kebanggaan rakyat Sabah iaitu Taman Tun Mustapha (TTM) yang diwartakan pada tiga tahun lepas, 19 Mei 2016.
Pewartaan itu menjadikan TTM sebagai kawasan perlindungan marin terbesar di rantau ini yang meliputi kawasan perairan seluas hampir 900,000 hektar membabitkan tiga daerah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Pitas di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah.
Matlamat penubuhannya adalah untuk memulihara kepelbagaian biologi marin dan dalam masa sama menambah baik industri perikanan mampan bagi faedah komuniti setempat termasuk membuka lebih banyak peluang industri pelancongan di Sabah.
Terbaharu, pulau yang ditimbuni batu karang timbul secara semula jadi atau lebih dikenali ‘Floating Coral Bar’ di Pitas dalam kawasan TTM kian menjadi pilihan destinasi para pelancong yang mahukan kelainan.

Kapal Taman Tun Mustapha yang diberi nama Si Buding merupakan Pejabat Bergerak yang berlayar dari semasa ke semasa ke serata perairan TTM bagi tujuan pemantauan dan kawalan.
Pengusaha Pelancongan Archangel, Victor Tan Vui Keong berkata, sejak beroperasi enam bulan lepas, mereka menerima maklum balas yang positif dari para pelancong.
“Para pelancong terutama dari warga Eropah suka dengan pendekatan pihak kami yang melibatkan komuniti setempat untuk sama-sama memajukan kawasan ini.

Jamili (tengah) sedang menerangkan sesuatu kepada Pengerusi Persatuan Pelancongan Supirak, Moktar Amirol (kiri) dan Pengarah Pusat Pelancongan Archangel, Victor Tan Vui Keong (kanan).
“Kerjasama tersebut adalah daripada segi bekalan makanan dan pengangkutan yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup mereka.
“Selain itu, kami turut memberi sebanyak 30 kuota khusus pelancong tempatan kepada pihak komuniti manakala 40 kuota melalui agensi pelancongan,” jelas beliau.
Tambahnya, terdapat perancangan untuk mewujudkan Pasar Terapung atau ‘Floating Market’ yang membabitkan pihak komuniti tetapi masih dalam kajian terutamanya dari segi pengurusan bahan sisa.
Dalam pada itu, Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Jamili Nais mengulas, pihaknya dari segi pengurusan dengan memberi tumpuan utama dalam bidang-bidang perikanan termasuk pelancongan mampan yang membentuk konvergen bersama pihak komuniti dan pengusaha swasta.
“Menerusi TTS dan Tabung Alam Sedunia (WWF), pihak wakil komuniti turut dihantar ke luar negara bagi tujuan pendedahan dan pendidikan aspek pengurusan pelancongan komuniti yang mampan.
“Sedikit sebanyak idea-idea itu dibawa ke sini dan hasilnya makin berkembang,” terangnya kepada media.
Menurut Jamili, TTS juga sedang mencari tarikan-tarikan tambahan yang ada di sekitar kawasan ini sebagai sokongan termasuk tempat penginapan.
Untuk rekod, terdapat tarikan pelancongan lain di sekitar Pitas, antaranya Pulau Supirak, Batu Gerawang, Batu Berunsai, Perigi Air Tawar, Batu Dulang, Batu Talam dan Batu Kougan.
Projek Penambahbaikan Perikanan (FIP) Pertama di Malaysia
Pada masa sama, usaha untuk membantu nelayan kawasan TTM giat dibuat menerusi Projek Penambahbaikan Perikanan yang pertama di Malaysia.
Pembantu Menteri Industri dan Perdagangan Sabah, Ben Chong Chen Bin berkata program ini akan menjadi pencetus momentum usaha yang berterusan bagi memulihara industri perikanan di negeri ini.
“Banyak usaha kita untuk membantu nelayan di kawasan TTM. Kini beberapa jeti bagi nelayan bot-bot kecil sedang dibina di Pasar Ikan Kudat bagi memudahkan urusan nelayan seperti proses jual beli, pasaran dan pengangkutan.
“Nelayan dalam industri perikanan yang mampan akan memberi kesan kebaikan yang berpanjangan kepada kita agar dapat memelihara dan melindungi khazanah alam semula jadi marin di sini, meningkatkan stok perikanan, memberi pulangan yang lebih baik kepada nelayan-nelayan,” katanya.
Ben berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Pelancaran Projek Penambahbaikan Perikanan Ikan Batu Karang, Teluk Marudu, TTM di sini, pada Selasa.
Jelasnya, nelayan juga semakin bijak bersama-sama menjaga perairan ini dan meningkatkan industri-industri lain termasuk pelancongan berdasarkan potensi produk pelancongan ekosistem marin yang ada di TTM.
Usaha kerjasama
Ketua Interim Program Marin WWF-Malaysia, Monique Sumampouw berkata, FIP merupakan satu usaha yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan iaitu pihak kerajaan, bukan kerajaan, industri perikanan, institut penyelidikan dan komuniti untuk memulihara kawasan perikanan terlibat.
“FIP diiktiraf sebagai satu langkah pemuliharaan perikanan di dunia yang mengandungi prinsip yang merangkumi stok perikanan, alam sekitar dan pengurusan perikanan.
“Projek ini telah di implementasi di serata dunia lebih dari 40 negara kini sedang membangunkan FIP dan lebih 150 projek di implementasi dengan pelbagai jenis perikanan.
“Bagi negara jiran kita di Asia Tenggara, negara seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam mempunyai projek FIP merangkumi nelayan pesisir pantai hinggalah kepada nelayan laut dalam,” jelasnya.
Beliau berkata, malah ada yang diiktiraf sebagai pemegang Marine Stewardship Council, satu pensijilan tertinggi di dunia yang mengiktiraf perikanan lestari berdasarkan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan.
Monique percaya kejayaan sedemikian boleh tercapai dengan kerjasama yang tidak berbelah bagi dari semua pihak berkepentingan.
ER