Laporan/foto: Hamidah Len/ Nasrie Tapisil (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Warga Jabatan Penerangan Sabah (JaPen) diseru meningkatkan keterampilan diri serta imej profesional penjawat awam dalam melakukan transformasi budaya kerja.
Pengarah Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka berkata, penjawat awam perlu menunjukkan kewibawaan yang tinggi merangkumi cara berfikir, berpakaian, berkomunikasi dan kepimpinan.
“Amalan etika dan protokol yang baik mencerminkan sikap profesionalisme seterusnya memberi gambaran kepada orang awam betapa warga kerja jabatan mempunyai nilai komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
“Justeru, dalam membudayakan sikap profesionalisme, kita perlu melakukan anjakan paradigma dari pelbagai aspek dan ini memerlukan tekad, komitmen dan usaha berterusan dari semua pihak,” katanya dalam Majlis Perasmian Penutupan Kursus Keterampilan Diri dan Kepimpinan Jabatan Penerangan Negeri Sabah 2019 di Wisma Dang Bandang, pada Rabu.
Beliau turut menyeru agar segala ilmu yang diperoleh dapat dikongsikan bersama rakan-rakan demi kepentingan jabatan dan berharap kursus serupa dapat diadakan lagi di masa hadapan.
Kursus Keterampilan Diri dan Pemikiran diadakan pada 22 hingga 23 Oktober 2019 dan disertai oleh warga JaPen dari pelbagai peringkat.
Kursus dikendalikan oleh Syarikat Perunding Imej, CuteCarry Sdn Bhd yang membentangkan topik penampilan, kelakuan, protokol, etika sosial, teknik komunikasi dan pembangunan diri dengan dua panel penceramah iaitu Hafiz Mustapha dan Nazariah Taharin.
ER