Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Isu Banjir Kilat Diberi Perhatian Serius

By 24 Oktober 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto:  Ramasamy Amas (Jempol)     

JEMPOL, 24 Okt (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah memberi jaminan kepada penduduk Kampung Taman Jaya untuk memberi perhatian terhadap isu banjir kilat yang sering melanda kawasan tersebut.

“Pihak kementerian akan mengadakan perbincangan dengan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Pejabat Daerah Jempol dan Jabatan Pergairan dan Saliran serta Majlis Perbandaran Jempol bagi mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah banjir kilat ini.

“Saya difahamkan kerajaan terdahulu juga pernah mengambil usaha ke arah tersebut, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana laluan perparitan tersebut melibatkan tanah hak milik orang lain. Namun, saya akan mengarahkan pegawai daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk mengadakan satu perbincangan bersama dengan pemilik-pemilik tanah terbabit untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya sempena Program Ramah Mesra Deepavali Kg. Taman Jaya, di sini baru-baru ini.

Salah seorang penduduk Kampung Taman Jaya, Tamil Selvi Chelliah, 55, ketika ditemui berkata beliau yakin dan percaya bahawa isu banjir kilat dapat diatasi dengan segera kerana rumah beliau sering dilanda banjir kilat apabila berlaku hujan lebat.

Dalam pada itu, Sivarasa turut memberi jaminan akan mengadakan perbincangan dengan pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM) bagi mengatasi masalah 50 buah keluarga yang telah menduduki tanah rezab KTM sejak 4-5 dekad lalu, termasuk juga tanah rezab kerajaan seluas 40 ekar yang kini diusahakan oleh 13 orang petani namun kini terpaksa diserahkan kepada Pemaju Landai Bumi untuk projek Perumahan Mampu Milik.

Sivarasa turut menyumbangkan bantuan berupa barangan keperluan harian kepada 75 keluarga terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sempena sambutan Perayaan Deepavali yang akan diraikan tidak lama lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda