
Laporan/foto : Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
PASIR GUDANG, 25 Nov (Malaysiaaktif) – 10 kategori barangan utama seperti kicap, minyak masak, susu, barangan keperluan bayi, makanan dalam tin dan minuman bancuhan antara barangan yang dijual murah sempena Karnival Jualan Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-KeeP) ‘Jom Belanja’.
Orang ramai yang berkunjung ke Karnival Jualan i-KeeP yang julung kali diadakan di Pasir Gudang ini menikmati penjimatan sehingga 30 peratus daripada harga runcit yang disyorkan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata inisiatif seperti ini memberikan lebih pilihan kepada pengguna untuk memilih premis-premis bagi mendapatkan penjimatan ketika berbelanja.
“Pengenalan i-KeeP merupakan satu usaha kerajaan untuk memastikan masyarakat pengguna dapat menikmati penjimatan yang lebih baik dengan berbelanja di premis-premis i-KeeP yang mengambil bahagian.
“Di negeri Johor, i-KeeP mempunyai kira-kira 68 buah premis melalui Pasaraya Maslee, Hwa Thai dan D’ Mart,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Jualan i-KeeP ‘Jom Belanja’ di sini, kelmarin.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim ketika melakukan ‘jualan riang ria’ di tapak jualan Karnival Jualan i-KeeP ‘Jom Belanja’ di Pasaraya Maslee Taman Cendana, Pasir Gudang, semalam.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Abdullah Abdul Rahman Pengarah KPDNHEP Negeri Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro dan Ketua Bahagian Kumpulan Kewangan Perbadanan Nasional Berhad.
i-KeeP merupakan antara inisiatif yang diperkenalkan oleh KPDNHEP untuk membantu masyarakat yang merasai kesan peningkatan kos sara hidup terutama sekali di bandar-bandar seperti Johor Bahru dan Pasir Gudang.
Hassan berkata pengunjung Karnival Jualan i-KeeP juga akan ditawarkan produk-produk dengan harga yang terendah menerusi sesi ‘jualan riang ria’
“Sebagai contoh, minyak masak lima kilogram jenama Lestari yang merupakan jenama yang hanya boleh didapati di semua premis i-KeeP dijual pada harga RM10 sahaja berbanding harga biasa RM16.50 pada ‘jualan riang ria’ ini,” katanya.
Selain jualan, pelbagai pengisian turut diadakan seperti sukaneka rakyat, pertandingan karaoke, cabutan bertuah, pertandingan bayblade, demonstrasi masakan oleh chef selebriti dan pertandingan mewarna.
-NI-