Laporan/foto: Ezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar)
MUAR, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Muar yang terkenal dengan gelaran Bandar Maharani, Bandar Diraja telah diberi pengiktirafan oleh DYMM Sultan Johor pada tahun 2012 dan turut mendapat pengiktirafan sebagai bandar yang paling bersih di Malaysia pada tahun 2016.
DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim menyatakan perasaan gembira dapat berehat di Muar dan selesa berada di sini kerana suasana yang tenang dan masyarakat yang ramah mesra.
“Keamanan yang kita perolehi hari ini adalah hasil usaha semangat perpaduan bangsa yang telah disemai oleh orang tua kita di mana sejak daripada kecil kita telah diajar untuk berkongsi hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Oleh itu kita juga haruslah mendidik anak cucu kita dengan sifat tolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain walaupun di sini orang melayu merupakan penduduk asal, namun semua kaum lain turut diberikan peluang untuk membina kehidupan bersama di tanah yang bertuah ini,” titah baginda.
“Hormati kedaulatan Raja–Raja yang telah bertolak ansur memberikan kuasa kepada pemimpin yang dipilih oleh rakyat untuk mentadbir kerajaan, hormati kemuliaan agama Islam yang telah bertolak ansur untuk membenarkan agama lain diamalkan dengan aman serta hormati keistimewaan orang Melayu yang telah bertolak ansur dan berkongsi hidup dengan orang lain di tanah Melayu ini,” antara intipati titah baginda semalam.
Sultan Ibrahim turut bertitah agar tiga aspek penting itu mestilah difahami dan diamalkan oleh setiap rakyat di negeri Johor dan warganegara Malaysia.
Turut berangkat bersama, Yang Amat Mulia Tunku Abu Bakar, Tunku Putera Johor.
-NI-