Laporan/foto : Daniel Jong/Mohd Kharulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Pelancaran sebuah portal baharu yang dikenali sebagai ‘e-Pilah’ dapat membantu merancakkan usaha untuk mempromosikan daerah Kuala Pilah sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith, berkata bahawa daerah Kuala Pilah mempunyai banyak tarikan pelancongan seperti kebudayaan, adat resam serta makanan tradisional yang hanya eksklusif terdapat di daerah ini.
“Pelancaran portal e-Pilah ini adalah salah satu usaha untuk meluaskan promosi daerah Kuala Pilah sebagai destinasi pelancongan ‘hidup’ kepada masyarakat dalam dan luar negara,” katanya ketika merasmikan program Kembara Digital Malaysia (KDM) Peringkat Negeri Sembilan di Stadium Mini Kuala Pilah, di sini Sabtu lalu.
Eddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah, berkata kewujudan portal berkenaan akan menjadi medium kepada penduduk tempatan untuk mendapatkan perkembangan semasa yang berlaku di sekitar daerah itu selain akan diisi dengan fakta sejarah serta kejayaan yang telah ditempa anak kelahiran Kuala Pilah.
Tambah beliau lagi, portal itu diwujudkan antara lain sebagai pusat sehenti untuk pelbagai aktiviti sosial yang dijalankan oleh penduduk tempatan sambil meningkatkan status sosioekonomi rakyat melalui peluang perniagaan.
Program Kembara Digital Malaysia (KDM) yang diadakan di Kuala Pilah ini adalah merupakan lokasi kedua diadakan bagi tahun 2019 yang sebelum ini telah diadakan di Ipoh, Perak pada bulan Julai yang lalu.
Disamping mengeratkan lagi hubungan antara masayarakat setempat dengan kerajaan serta membina masyarakat bermaklumat, KDM juga merupakan satu platform yang membuka ruang untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama Jabatan atau Agensi kerajaan yang berkaitan dalam membantu masyarakat menghadapi pelbagai cabaran era digital pada masa kini.
Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Suriani Ahmad.
-AK