
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Lima keluarga miskin dan miskin tegar di sekitar Labuan menerima barangan kelengkapan rumah pada Program Labuan Komuniti Care 2019 anjuran bersama Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Perbadanan Labuan (PL).
Lima penerima bantuan, Samat Saat dari Kampung Gersik, Foo Yau Phin (Kampung Kerupang), Kamsah Kurus (Kampung Durian Tunjong), Dayang Damit Daud (Kampung Lubok Temiang) dan Bakar Omar (Kampung Durian Tunjong) menerima bantuan yang disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.
Menerusi kenyataan media, program bertujuan menyemarakkan semangat pendampingan sosial dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan Labuan itu melibatkan peserta yang disenaraikan dalam Kluster Program Baik Pulih Rumah Daif Bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar KPKT di mana setiap unit kediaman mereka dibaik pulih dengan kos RM5,000.00 bagi setiap unit kediaman.
“Penyerahan barangan kelengkapan rumah itu adalah bagi memenuhi keperluan asas isi rumah dan meringankan beban para penerima selain membolehkan mereka menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik di rumah masing-masing.
“KPKT berharap para penerima bantuan boleh memberi lebih tumpuan untuk meningkatkan hasil pendapatan keluarga disamping dapat memupuk nilai kasih sayang dan sikap saling bantu-membantu dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan Labuan,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.
Hadir sama pada program itu Ahli Parliemn Labuan Datuk Rozman Isli, Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan Simsudin Sidek.
-SH