Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Masitah Mat Zin (Seremban)
NEGERI SEMBILAN, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Komuniti Harapan Malaysia (KHM) bukan hanya bergerak sebagai sebuah badan sukarela untuk memupuk nilai murni dalam kalangan masyarakat sahaja, tetapi penubuhannya mampu membina jaringan komunikasi pada semua peringkat.
Bagi menterjemahkan matlamat penubuhan KHM ini, Jabatan Penerangan Negeri Sembilan telah menganjurkan Lawatan Minda Komuniti Harapan Malaysia Negeri Sembilan ke Bangunan Parlimen dan Nasyrul Quran, Putrajaya, pada Khamis.
Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM), Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shabli Arshad, berkata lawatan minda kali ini yang melibatkan hampir keseluruhan KHM di Negeri Sembilan adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada komuniti akan amalan demokrasi berparlimen di Malaysia.
“Penglibatan KHM dari tujuh daerah ini turut memberikan peluang kepada mereka untuk saling bertukar pandangan dan mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya.
Tambahnya lagi, mereka juga dapat membina jaringan komunikasi yang berkesan serta pengukuhan silaturahim antara satu sama lain melalui lawatan minda ini.
Sementara itu, Pengerusi KHM Kampung Permatang Pasir Khairulnizam Mat Som, berkata program yang dilaksanakan ini amatlah baik dan memberikan peluang buat komuniti menimba ilmu terutamanya mengenai perlembangan Malaysia.
“Fungsi Jabatan Penerangan dalam menyampaikan maklumat dasar kerajaan dan medium komunikasi juga dapat diguna pakai melalui penganjuran program seperti ini dan kami juga dapat berkenalan dengan ahli KHM dari daerah yang lain,” ujarnya.
-AK