Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pendidikan Prasekolah Perlu Inovasi Kembangkan Bakat – Yusof

By 8 November 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto:Hamidah Len/Shahvian Muhd Razali (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Pendidikan Pra sekolah perlu inovasi bagi mengembangkan bakat kanak-kanak awal usia dengan lebih cepat dan berkualiti.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata walaupun ibu bapa merupakan guru pertama, tetapi dari segi pendidikan formal, sekolah perlu peka dengan keperluan semasa dan memberi pendedahan awal berkaitan ledakan teknologi digital.

“Guru-guru perlu sentiasa kreatif mencari penyelesaian sesuatu permasalahan kerana usaha ini akan memberi pulangan lumayan kepada negara bagi menghadapi masa depan yang penuh cabaran.

Rapahi menyampaikan teks ucapan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah.

Rapahi menyampaikan teks ucapan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah.

“Kanak-kanak ibarat kain putih bersih yang memerlukan guru mencoraknya dengan ilmu-ilmu bermanfaat melalui pengisian berbentuk permainan dan didik hibur khususnya pada peringkat umur lima hingga enam tahun.

“Mereka memerlukan penyuburan minat terhadap pendidikan sebagaimana aktiviti yang disusun atur dalam karnival kali ini, menepati hasrat menjadi tempat terbaik mencungkil bakat-bakat muda untuk digilap menjadi permata berkualiti negara.

“Melentur buluh biar dari rebungnya kerana pada peringkat ini mereka masih mudah dibentuk kerana jika kita ingin melihat masa hadapan negara, maka lihatlah apa yang kita usahakan pada kanak-kanak hari ini.

CENDERAMATA...Rapahi (tengah) menerima cenderamata daripada Fakulti Psikologi dan Pendidikan.

CENDERAMATA…Rapahi (tengah) menerima cenderamata daripada Fakulti Psikologi dan Pendidikan.

“Kanak-kanak yang tidak dapat dikembangkan bakatnya, akan menjadi liabiliti kepada negara,” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik, Rapahi Idris pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kebudayaan Murid Prasekolah 2019 di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Karnival tersebut dianjurkan oleh Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS dengan kerjasama Pusat Minda Lestari bermatlamat meningkatkan penguasaan dan kemahiran murid dalam pelbagai aspek perkembangan khususnya jasmani, emosi, rohani, intelek serta sosial.

Pada majlis itu, johan keseluruhan karnival menjadi milik Tadika Cinta Sayang dengan pungutan dua pingat emas, dua perak, dua kedudukan di tangga keempat, sementara naib johan disandang Prasekolah SK Serusup dan Tadika Khoi Ming, Kota Marudu di tempat ketiga.

ER

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda