Laporan/Foto: Mohamad Roslan Hussin (Gua Musang)
GUA MUSANG, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Bandar Gua Musang hari ini dikejutkan dengan deruman gerombolan kenderaan lasak pacuan empat roda ‘Rain Forest Challenge’ (RFC) Kesedar@KPLB anjuran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
RFC Kesedar@KPLB merupakan satu acara lasak pacuan empat roda rentas belantara yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) mulai 7 hingga 9 Disember, dan acara kemuncak telah berlangsung di Kawasan Rehat dan Rawat Hentian Gua Musang, pagi tadi bermula pukul 9.00 pagi hingga 12.00 malam.
Acara ini memberikan ruang kepada orang ramai untuk menyaksikan secara dekat kepakaran dan kebolehan pemandu tempatan dan luar negara mengendalikan kenderaan mereka dari segi mendaki, menuruni bukit dan meredah sungai yang berselut.
Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuklah gerai pameran dari jabatan dan agensi kerajaan, gerai jualan dan juga aktiviti sukaneka dan persembahan kebudayaan.
Pengerusi KESEDAR Datuk Sazmi Miah dalam ucapan perasmiannya berkata “Kita tahu mereka ini ada buat program tetapi mereka beraksi jauh di dalam hutan, hari ini KESEDAR bawa mereka untuk buat persembahan di dalam bandar dan orang ramai boleh menyaksikan aksi mereka.”
“Di samping itu juga seramai 50 orang usahawan niaga dijemput untuk memasarkan produk masing-masing kepada pengunjung yang datang menyaksikan program ini,” katanya.
“Kita tidak mahu masyarakat beranggapan Gua Musang sekadar tempat berhenti mengisi minyak dan membuang air sahaja, kita berharap program ini akan diadakan setiap tahun dan kita berhasrat untuk mengeluarkan produk ‘Musang King’ terbesar,” tambahnya lagi.
Nor Hafizah Mohd Azmi, 34, Pengurus REMOKA merupakan pemenang tempat pertama pertandingan keluaran produk usahawan pada hari ini dari Kampung Jelatok, Tanah Merah yang berpendapat program ini amat bagus kerana dapat berhibur dengan persembahan kebudayaan dan boleh juga menyerta aktiviti sukaneka yang diadakan di samping dapat juga memasarkan produk bumiputera khususnya makanan produk halal muslim.
Lyubarenko Valeriy Katkov Andrei, 47, peserta RFC yang berasal dari Russia berkata beliau amat kagum dan gembira melihat orang ramai yang datang menyaksikan pertandingan hari ini.
Ibrahim Marijah, Batin Suku Batik Kampung Merlon dari Kuala Koh Gua Musang berkata beliau berkunjung ke sini membawa Kumpulan Sewang Seri Merlong untuk mengadakan persembahan dan rugi sekiranya kita tidak datang menonton aksi lasak kenderaan empat roda ini.
“Ini julung kali di adakan di sini dan kita boleh tengok dari dekat, boleh kenal dan bergambar dengan mereka, kita juga boleh berbelanja di sini, pelbagai jualan makanan minuman dan pakaian ada dijual, biasanya mereka buat di dalam hutan susah hendak pergi menyaksikannya,” tambahnya.
Selesai ucapan perasmian Sazmi turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 100 orang pelajar dari sekolah di daerah Gua Musang turut hadir, Timbalan Pengerusi Kesedar, Dr Aminuddin Yaakob, Timbalan Pengurus Besar Kesedar (Pengurusan), Wan Muhd Rahimi Wan Salleh dan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Othman Ismail.
– NAZ