
Laporan/foto: Mohd Fauzi Mohd Yusoff/Muhammad Hanif Samad (Tampin)
TAMPIN, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Wajah gembira jelas terlihat pada wajah 100 orang murid sekitar daerah ini apabila menerima sumbangan set kelengkapan persekolahan daripada syarikat utiliti nasional, Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kesemua murid berkenaan menerima set kelengkapan persekolahan seperti uniform, kasut, stokin, beg sekolah dan alat tulis menerusi program ‘Ceria ke Sekolah’ Parlimen Tampin sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB.
Ahli Parlimen Tampin Datuk Dr. Hasan Bahrom, berkata program ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban golongan asnaf dan juga keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.
“Saya berharap pada masa hadapan agar TNB dan mungkin syarikat-syarikat lain boleh menjalankan CSR lagi dan memberi pulangan kepada rakyat seperti yang dilakukan hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan tersebut di Dewan Sri Gemencheh, di sini semalam.
Pejabat Penerangan Daerah Tampin dalam pada itu turut mengambil inisiatif menjalankan program Info on Wheel dengan mengedarkan salinan ‘Buletin Nogori Kito’ dan ‘Belanjawan Negeri Sembilan 2020’ kepada orang ramai yang hadir.
Turut hadir ke majlis tersebut, penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas Rosnani Saring.
-AK