
Laporan/Foto : Jamilah Sulaiman Nasution / Shariffuddin Saedin (Seremban)
Seremban, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Pertandingan memancing dapat mengumpulkan ‘kaki pancing’ dalam aktiviti yang sihat dan sangat bermanfaat sekaligus menjadi medan untuk merapatkan hubungan.
Oleh itu, Persatuan Penternak dan Nelayan Darat Seliau dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Seliau Baru, Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Kampung Seliau Baru dan Unit Pertubuhan Peladang Seliau telah mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Memancing di sini, semalam.
Pengerusi KHM Kampung Seliau Baru, Abd Ghani Zainuddin, berkata aktiviti yang unik ini mampu menarik minat penduduk kampung untuk sama-sama menyertai pertandingan tersebut.
“Saya merasa amat teruja melihat kemeriahan pertandingan pada hari ini kerana ianya merupakan pertandingan tahunan yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan persaudaraan penduduk,” katanya.
Ujarnya, tambah mengharukan apabila anak-anak kampung yang tinggal berjauhan seperti di Kuala Lumpur sanggup pulang ke kampung untuk memeriahkan pertandingan ini.
Menurut salah seorang anak jati Kampung Seliau Baru, Redzuan Sentol, beliau sanggup pulang dari ibu kota untuk mengambil bahagian dalam acara ini sebagai salah satu cara menyatakan sokongan kepada penganjuran aktiviti oleh penduduk kampung tersebut.
Tambahnya, peluang menyertai pertandingan memancing adalah waktu terbaik untuk bersama keluarga, sekali gus mewujudkan suasana muhibah bersama penduduk kampung.
Pertandingan yang bermula pada jam 8.00 pagi itu mendapat sambutan hangat warga Kampung Seliau Baru yang mencatatkan kira-kira 84 penyertaan yang kebanyakannya adalah ahli keluarga terdiri daripada masyarakat setempat.
-AK