Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kepuasan Menunggu Selama 21 Tahun

By 26 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto :  Krisha Selladurai/Najib Mohaini (Pontian) 

PONTIAN, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Hari ini merupakan detik yang di nanti-nantikan selama 21 tahun oleh rakyat Malaysia bagi menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus (Cincin) yang berlangsung bermula jam 11.26 pagi dan menghasilkan Anulus tepat jam 1.21 petang selama dua minit.

Taman Negara Tanjung Piai, Pontian yang terkenal dengan jolokan Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Benua Asia merupakan salah satu lokasi strategik pencerapan kejadian ini selain Planetarium Negara Kuala Lumpur dan Dataran Piazza Serian, Sarawak manakala kawasan lain di Malaysia hanya dapat menyaksikan Fasa Gerhana Matahari Separa sahaja.

Program Solar Fest@Gerhana Matahari Cincin 2019 di sini telah berlangsung bermula 24 hingga 26 Disember 2019 yang dimulakan dengan acara penyelidikan dan pendidikan gerhana serta Bengkel D.I.Y Teleskop bersama Persatuan Starfinder.

Salah seorang jurufoto media menggunakan penapis solar buatan sendiri.

Salah seorang jurufoto media menggunakan penapis solar buatan sendiri.

Satu sesi bual bicara Gerhana Matahari Anulus bersama Pakar Astrofizik Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mazlan Othman dan Prof. Dr. Bambang Hidayat dari Indonesia turut dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kejadian yang jarang-jarang berlaku ini.

Kira-kira 1,000 orang termasuk pasukan ASEAN Astronomy Workshops For Teachers (AAWT) dan peminat-peminat astronomi seluruh dunia tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena ini sendiri secara langsung.

Cermin mata khas untuk menyaksikan gerhana matahari tersebut telah diedarkan kepada pengunjung yang hadir manakala ‘live streaming‘ juga turut sediakan bagi liputan media sosial.

Solat Gerhana Matahari turut diadakan oleh para pengunjung yang hadir.

Solat Gerhana Matahari turut diadakan oleh para pengunjung yang hadir.

Para pengunjung yang beragama Islam tidak melepaskan peluang untuk mengadakan Solat Gerhana Matahari secara berjemaah.

Menariknya fenomena ini turut dapat dirasai oleh golongan kurang upaya penglihatan melalui pengisian program Apa Di Langit dengan menggunakan alat khas pendekatan bunyi sebagai medium untuk memastikan golongan ini mampu menghayati dan mempelajari keunikan kejadian Gerhana Matahari Cincin dan mereka turut dibekalkan buku bertajuk ‘Lingkaran Cincin Berapi’ bertulisan braille dan alat mengesan kekuatan cahaya.

Salah seorang pengunjung yang bertuah pada hari ini, Faszly Rahim, 41, dan isterinya, Sharina Abu Hanifah, 38, dari Bangi, Selangor, turut membawa lima orang anak mereka berumur antara dua hingga sembilan tahun untuk bersama-sama menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus.

Faszly Rahim dan keluarga teruja menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus.

Faszly Rahim dan keluarga teruja menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Anulus.

“Pendedahan mengenai fenomena ini mampu memberi pengalaman berharga kepada anak-anak saya yang sedang membesar dan saya berharap ia secara tidak langsung dapat membuka minda mereka untuk lebih berminat dengan mata pelajaran sains kelak,” ujarnya.

Kali terakhir fenomena alam ini terjadi kira-kira 21 tahun yang lalu di Mersing, Johor pada 22 Ogos 1998 dan dijangka akan berlaku pada tahun 2042.

-NI-

Tinggalkan komen anda